Saturday, December 7, 2024
26.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tahi lalat penyeri atau gangguan wajah?

    BAGI kebanyakan orang, memiliki tahi lalat di wajah sering dianggap sebagai ‘penyeri’. Lihat saja beberapa selebriti Hollywood yang tampil anggun dan berkeyakinan biarpun wajah dihiasi tahi lalat yang jelas ketara.

    Namun ‘tanda’ itu jugalah membawa nama mereka gah di seluruh dunia seperti model antarabangsa dan pelakon, Cindy Crawford selain Marilyn Monroe yang digambarkan sebagai antara ikon wanita tercantik di Hollywood.

    Kejelitaan mereka tidak dapat disangkal dan tambah indah apabila wajah dihiasi tahi lalat yang menjadi daya tarikan.

    Tahi lalat atau daripada definisi perubatan ialah nevus pigmentosus. Setiap orang memiliki tahi lalat dengan ukuran yang berbeza-beza, dari kecil sehinggalah yang besar dan menonjol.

    Ia juga petunjuk kepada pengumpulan pigmen di bawah kulit sejak lahir dan tahi lalat boleh bertambah banyak seiring peningkatan usia.

    Memiliki tahi lalat di wajah sering dianggap sebagai ‘penyeri’. Lihat saja beberapa selebriti Hollywood yang tampil anggun dan berkeyakinan biarpun wajah dihiasi tahi lalat yang jelas ketara. Namun ‘tanda’ itu jugalah membawa nama mereka gah di seluruh dunia seperti model antarabangsa dan pelakon, Cindy Crawford selain Marilyn Monroe yang digambarkan sebagai antara ikon wanita tercantik di Hollywood.

    Pakar Estetika, Dr Riza Hartini Razali berkata, secara umum sebahagian besar tahi lalat tak berbahaya namun ia boleh bertukar sifat menjadi tidak stabil dan melarat sehingga menyebabkan kanser kulit melanoma maligna.

    Menurutnya, faktor keturunan juga tidak boleh dipandang remeh kerana banyak keluarga yang mempunyai tahi lalat atipikal yang boleh dikaitkan dengan frekuensi tinggi melanoma atau kanser kulit.

    “Bagaimanapun, bintik hitam atau coklat pada permukaan kulit ini sering menimbulkan tanggapan sama ada membawa tuah atau sebaliknya.

    “Ramai yang ingin membongkar rahsia atau maksud tersirat di sebalik tahi lalat anda. Bagi yang mempercayai ketumbuhan ini boleh memberi tuah akan membiarkannya tetapi yang berasakan kecantikannya tercalar atau mempercayai boleh membawa kemudaratan, akan berusaha untuk membuangnya,” katanya.

    Dr Riza yang juga pengasas Butik Kecantikan Ariana Ming (AM Beauty) menjelaskan, beberapa tanda tahi lalat mencurigakan yang perlu kita perhatikan adalah ABCDE iaitu:

    -A : Asimetri (simetrisitas).

    -B : Border (permukaan) – Berbeza dan tidak rata daripada tahi alat asal.

    -C : Colour (warna) – Berdarah, gatal, merah, bengkak.

    -D : Diameter (berbeza)- Tahi lalat abnormal memiliki diameter lebih besar, boleh melebihi dari 6 milimeter (mm).

    -E : Evolving (berkembang)- Membesar dengan cepat.

    Katanya, untuk mendapat kepastian sama ada tahi lalat yang dimiliki boleh mendatangkan mudarat, doktor perlu melakukan pemeriksaan sampel atau biopsi.

    Rawatan

    Katanya, tahi lalat boleh dibuang melalui pembedahan kecil di hospital dan klinik serta dikendalikan doktor pakar kulit, doktor perubatan estetika dan doktor am.

    Menerusi pembedahan, cebisan yang dibuang itu akan dihantar ke makmal untuk pemeriksaan lanjut bagi mengesahkan ia bebas sel kanser melanoma yang diuruskan pakar patologi.

    Beliau berkata, tahi lalat yang tidak berbahaya dan hanya mengganggu penampilan biasanya cukup ditangani dengan pembedahan kecil menggunakan pelbagai teknik seperti melecuhkan (cauterization) menggunakan tenaga panas atau laser.

    Kaedah laser bagi membuang tahi lalat dianggap lebih selamat dan cepat namun paling penting, ia meninggalkan kesan parut minimum, selain tiada pendarahan berlaku sewaktu prosedur dijalankan.

    “Pemeriksaan perlu dilakukan terlebih dahulu bagi memastikan tahi lalat berkenaan bebas kanser melanoma. Selepas tidak menemui sebarang simptom kanser, baru prosedur menggunakan laser dapat dilakukan,” katanya.

    Menjelas lanjut, Dr Riza berkata, melanoma adalah sejenis kanser kulit yang paling serius dengan penyebabnya adalah radiasi sinar ultra ungu (UV) yang berlebihan dan faktor genetik.

    Jika didapati mempunyai risiko melanoma, pakar kulit akan menjalankan beberapa ujian saringan sebelum rawatan ekstensif seperti:

    1. Pembedahan – untuk membuang sel terbabit dan sel di sekelilingnya bagi memastikan tiada sel melanoma yang tinggal. Bahkan kelenjar limfa yang terdekat juga akan dibuang jika melanoma sudah merebak.

    2. Kemoterapi – untuk menangani melanoma yang sudah melarat ke bahagian tubuh lainnya.

    3. Imunoterapi – bertujuan mendorong sistem kekebalan tubuh melawan sel kanser yang merebak.

    Menurut Dr Riza, apabila seseorang individu memiliki banyak tahi lalat, ada beberapa faktor yang perlu mereka pastikan antaranya melindungi diri daripada sinar UV berlebihan kerana sinar UV adalah antara risiko mendapat kanser kulit.

    “Jenis kulit dan pendedahan kepada sinar UV matahari menjadi faktor yang sangat berpengaruh dalam meningkatkan risiko kanser kulit selain sejarah keluarga yang pernah mengalami melanoma.

    “Selain itu, individu yang berkulit cerah perlu lebih peka dengan risiko ini kerana melanoma terjadi apabila pigmen kulit mengalami pembahagian sel secara cepat dan kadar melanin yang rendah secara berlebihan.

    “Jika khuatir dengan tahi lalat yang baru muncul atau melihat adanya perubahan seperti yang dinyatakan, segera temui doktor untuk memastikan keadaan kulit tidak menjadi lebih serius. Pencegahan sentiasa lebih baik daripada rawatan,” katanya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda