Oleh Syahmi Hassan
Gambar oleh Hakim Hayat
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 JULAI – Sebagai salah satu acara yang dianjurkan sempena Sambutan Bulan Bahasa 2021 yang dirancang sepanjang tahun ini, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan telah mengadakan majlis membaca Surah Yasin dan Tahlil di Kubah Makam Diraja, Jalan Tutong, kelmarin.
Majlis berkenaan adalah bagi Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit dan Al-Marhum Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Haji ‘Abdul ‘Azim.
Hadir pada majlis tersebut ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.
Bacaan Surah Yasin dan tahlil telah dipimpin oleh Imam Tingkat I dari Jabatan Hal Ehwal Masjid, Awang Muhd Arif bin Haji Johari.
Majlis tersebut merupakan acara kesinambungan selepas Majlis Doa Kesyukuran dan Khatam Al-Quran sempena Sambutan Bulan Bahasa 2021 yang diadakan pada sebelah pagi yang juga dihadiri oleh Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Turut hadir dalam kedua-dua majlis tersebut ialah setiausaha-setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap, ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Bulan Bahasa 2021, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan, para penulis serta para pencinta bahasa dan sastera.