Tahniah pasukan White

Oleh Ak Zaki Kasharan

Gambar oleh Khairil Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Mac – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat bagi mengurniakan hadiah Kejohanan Polo Richard Mille yang berlangsung di Jerudong Park Polo & Riding Club, petang tadi.

Pasukan White yang diterajui oleh Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen muncul juara dalam kejohanan berkenaan apabila berjaya memenangi perlawanan akhir menentang pasukan Black yang diketuai oleh Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri ‘Azemah Ni’matul Bolkiah dengan keputusan 7-6.

Pada perlawanan akhir berkenaan, DYTM Pengiran Muda ‘Abdul Mateen berjaya menyumbangkan kemenangan bagi pasukan White apabila berhasil menjaringkan sebanyak tiga kali. Sementara itu, YTM Pengiran Anak Puteri ‘Azemah Ni’matul Bolkiah turut berjaya menjaringkan sebanyak tiga kali dalam perlawanan akhir tersebut.

Terdahulu sebelum perlawanan akhir berkenaan, turut diadakan perlawanan penentuan bagi menentukan tempat ketiga dan keempat antara pasukan Red yang diterajui oleh Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah yang turut dibarisi oleh Tengku Amir Nasser Ibrahim menentang pasukan Yellow yang diketuai oleh Yang Amat Mulia Pengiran Muda Bahar yang mana perlawanan berkenaan berkesudahan dengan pasukan Red memenangi perlawanan dengan keputusan akhir 5-4.

Turut berangkat bagi menyaksikan perlawanan berkenaan ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah, Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Hajah Zariah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Yang Amat Mulia  Pengiran  Muda Abdul Qawi serta kerabat diraja.

DYTM Pengiran Muda ‘Abdul Mateen dinobatkan sebagai Penjaring Terbanyak Kejohanan sementara itu bagi hadiah kuda terbaik jatuh kepada Navidad iaitu kuda yang digunakan DYTM Pengiran Muda ‘Abdul Mateen pada Chukka ketiga dan keempat perlawanan akhir hari ini.

KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan dijunjung bergambar ramai bersama DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen, DYTM Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah, YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri ‘Azemah Ni’matul Bolkiah dan YAM Pengiran Muda Bahar.
Baginda Sultan, DYTM Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah dan DYTM Paduka Seri Pengiran Digadong ketika berkenan berangkat ke Kejohanan Polo Richard Mille. Turut hadir ialah YAM Pengiran Muda Abdul Qawi dan YAM Pengiran Muda Bahar.
DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen dan YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri ‘Azemah Ni’matul Bolkiah ketika berkenan beraksi dalam kejohanan tersebut.
DYTM Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah, YTM Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Hajah Zariah, YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna dan YAM Pengiran Muda Abdul Qawi berkenan berangkat ke Kejohanan Polo Richard Mille.