Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 April – Masyarakat Bangladesh yang menetap di Negara Brunei Darussalam, hari ini, meraikan ‘Pahela Baishakh’ yang juga dikenali sebagai Tahun Baru Benggali dengan penuh kegembiraan dan kesyukuran.
Majlis yang diadakan di premis Suruhanjaya Tinggi Republik Rakyat Bangladesh di Negara Brunei Darussalam Kampung Sungai Akar itu turut dihadiri oleh Pesuruhjaya Tinggi Republik Rakyat Bangladesh ke Brunei, Timbalan Marsyal Udara Mahmud Hussain.
Acara anjuran Suruhanjaya Tinggi Bangladesh itu diisikan dengan pelbagai persembahan nyanyian dan tarian tradisional bagi menghiburkan tetamu yang hadir dengan mengenakan pakaian tradisional mereka.
Timbalan Marsyal Udara Mahmud Hussain semasa ditemui di majlis itu menjelaskan akan kepentingan Tahun Baru Benggali yang disambut setiap 14 April.


Menurutnya, ia merupakan acara perayaan yang besar terutama bagi mereka yang berada jauh dari rumah selain ia juga acara untuk menyatakan kesejahteraan kepada orang lain di samping bagi menandakan persahabatan dan kecintaan.
Beliau seterusnya melahirkan ucapan dan berdoa semoga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan rakyat Brunei berada dalam kesejahteraan dan kebahagiaan.