Thursday, April 25, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Tahun Harimau disambut secara sederhana, namun bawa harapan

    BEIJING – Penduduk di seluruh Asia menyambut Tahun Baharu Cina di tengah kebimbangan berhubung koronavirus dan varian Omicron, walaupun ketika kadar vaksinasi yang meningkat menambah harapan Tahun Harimau akan mengembalikan kehidupan kepada normal.

    Tahun Baharu Cina adalah cuti tahunan paling penting di China dan tahun ini jatuh pada 1 Februari. Setiap tahun dinamakan sempena salah satu daripada 12 tanda zodiak Cina dalam kitaran yang berulang. Tahun Harimau menyusuli Tahun Lembu.

    Ia akan menjadi tahun baharu ketiga berturut-turut diraikan dalam bayangan pandemik. Hanya dua hari sebelum cuti pada 2020 China mengenakan sekatan ke atas Wuhan – bandar yang mempunyai 11 juta penduduk – berikutan pengesanan koronavirus di sana.

    Kira-kira 85 peratus daripada penduduk Cina kini sudah lengkap vaksinasi, menurut Our World in Data, dan lebih ramai penduduk Cina telah berkunjung di dalam negara tahun ini, meskipun amaran kerajaan.

    Ramai orang bersedia menyambutnya dengan membeli tanglung merah dan perhiasan lain untuk rumah mereka, serta makanan untuk meraikan permulaan tahun baharu.

    Penduduk membeli perhiasan Tahun Baharu Cina dan bunga sempena sambutan Tahun Baharu Cina di Hong Kong. – AP
    Orang ramai memegang kemenyan mendoakan nasib baik sempena perayaan Tahun Baharu Cina di Tokong Tai Hong Kong di Bangkok, Thailand. – AP
    Komuniti Cina Kemboja mengadakan persembahan tarian singa di Phnom Penh, Kemboja pada hari pertama Tahun Baharu Cina. – AP

    Namun, pesara berusia 63 tahun, Huang Ping mengeluh ketika dia membeli-belah di sebuah pasar bunga di Beijing bahawa ‘suasana tahun baharu telah lenyap’ dengan penutupan tokong dan pesta bermusim demi menghalang orang ramai daripada mengunjunginya.

    Beliau mengharapkan keadaan yang lebih baik tidak lama lagi. “Saya berharap pandemik akan berakhir secepat mungkin dan ekonomi akan berpulih,” katanya.

    Seorang lagi pesara, Han Guiha, berkata dia merancang memanfaatkan situasi pandemik.

    “Saya akan kekal di rumah menikmati makanan,” kata wanita berusia 62 tahun itu. “Saya akan membersihkan dan menghiasi rumah saya. Sekarang virus sedang merebak dan kami perlu berhati-hati.”

    Kira-kira 260 juta penduduk mengadakan perjalanan di China dalam 10 hari pertama musim cuti bermula pada 17 Januari lalu – lebih rendah berbanding sebelum pandemik tetapi meningkat 46 peratus berbanding tahun lalu. Pada keseluruhannya, kerajaan meramalkan 1.2 bilion kunjungan semasa musim cuti, meningkat 36 peratus daripada setahun lalu.

    Di Hong Kong, yang melihat peningkatan kes pada Januari, penduduk membeli-belah barangan cuti bertemakan harimau. Bandar itu telah menutup sekolah disebabkan wabak dan mewajibkan restoran ditutup pada pukul 6 petang, sekali gus memaksa ramai makan di rumah untuk makam malam keluarga sehari sebelum Tahun Baharu Cina.

    Dengan Tahun Harimau, ramai berharap kuasa tradisional haiwan tersebut akan membantu mengeluarkan negara daripada pandemik, kata Chen Lianshen, pakar mengenai kisah dongeng di universiti Beijing.

    “Harimau merupakan pelindung roh jahat dan ia boleh menewaskan hantu syaitan dan orang Cina percaya wabak merupakan sejenis makhluk jahat,” katanya.

    Di kawasan lain di Asia, terdapat tanda-tanda sambutan mungkin lebih meriah berbanding tahun lalu. Meskipun sekatan pandemik berterusan, kebanyakan orang kini sudah menerima sekurang-kurangnya dua dos vaksin di kebanyakan rantau negara.

    Di Hanoi, penduduk mengerumuni pasar tradisional pada hujung minggu untuk mendapatkan perhiasan dan bunga untuk festival tahun baharu, dikenali sebagai Tet di Vietnam.

    Walaupun begitu, negara itu membatalkan bunga api Tet dan acara besar lain demi mengurangkan risiko tahun ini.

    Di Thailand, di mana 69 peratus penduduk sudah lengkap vaksinasi, Bangkok memutuskan tidak akan mengadakan sambutan Tahun Baharu Cina pada tahun ini untuk tahun kedua berturut-turut, tetapi akan meneruskan dengan menyalakan tanglung di jalan utama daerah.

    Di Singapura, sambutan Tahun Baharu Cina adalah lebih suram disebabkan sekatan koronavirus yang membenarkan penduduk menerima lima pelawat sehari, dan hanya satu kunjungan sehari. Peraturan itu tidak membenarkan tradisi ziarah-menziarahi saudara semasa cuti.

    “Tahun ini agak sunyi, kerana orang ramai sedang mengatur untuk mengadakan kunjungan dalam tempoh dua minggu dan bukannya hari pertama atau kedua tahun baharu,” kata Sebastian Lim, warga Singapura.

    Perniagaan adalah laris di pasar bunga di ibu kota, Taipei, Taiwan ketika orang ramai membuat pembelian pada minit-minit terakhir.

    “Pandemik pastinya menjejas perniagaan, tetapi orang masih suka bunga, maka mereka keluar dan membeli bunga,” kata seorang peniaga, yang hanya memberikan namanya sebagai Lee.

    “Namun harga adalah lebih rendah kerana kami mempunyai pengeluaran berlebihan dan kami tidak boleh mengeksport sesetengah produk – ia adalah masalah terbesar kami,” tambahnya. – AP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Utara hantar delegasi ke Iran

    PYONGYANG, 24 APRIL - Delegasi ekonomi Korea Utara peringkat tinggi sedang dalam perjalanan ke Iran, kata media negara Korea Utara pada hari ini, untuk...