Tahun Pelancongan Brunei-China 2020 labuh tirai

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 DIS – Tahun Pelancongan Brunei Darussalam dan Republik China (BCYOT) 2020 secara rasminya melabuhkan tirai dengan majlis penutupan yang berlangsung secara maya, hari ini.

Majlis tersebut diadakan oleh Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) melalui Jabatan Pembangunan Pelancongan serta dihoskan oleh Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan, Republik Rakyat China melalui Kerajaan Rakyat Wilayah Nanjing.

Menurut kenyataan KSSUP, majlis telah didahului dengan menyaksikan rakaman ucapan alu-aluan oleh Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Apong dan Menteri Kebudayaan dan Pelancongan Republik Rakyat China, Tuan Yang Terutama Hu Heping.

Kemudian, majlis disusuli dengan ucapan daripada Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Rakyat China ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Yu Hong dan Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Republik Rakyat China, Tuan Yang Terutama Pehin Orang Kaya Seri Pahlawan Kolonel (B) Dato Paduka Haji Abdu’r Rahmani bin Dato Paduka Haji Basir.

PYT Yu Hong antara lain menyatakan bahawa untuk mengadakan BCYOT adalah perjanjian penting antara ketua kedua buah negara.

Ia berfungsi sebagai platform dan peluang baharu untuk memperkukuhkan lagi kerjasama dalam bidang pelancongan dan pertukaran budaya antara kedua-dua negara.

Pada Januari 2020, majlis perasmian BCYOT telah diadakan dengan meriah di Bandar Seri Begawan.

Katanya lagi, kedua-dua ketua negara menghantar surat tahniah masing-masing untuk menyatakan hasrat mereka bekerjasama dalam bidang pelancongan yang lebih erat antara kedua-dua negara, dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna telah berkenan mengumumkan pembukaan tahun pelancongan itu.

Sepanjang dua tahun yang lalu, China dan Brunei telah bekerjasama untuk mengatasi kesukaran yang.

Beliau seterusnya menjelaskan, siri pertukaran dan kerjasama dalam talian dan luar talian, seperti menjemput Brunei sebagai tetamu kehormat China International Travel Mart dan pameran pelancongan China-ASEAN Expo, dan kursus latihan dalam talian untuk pemandu pelancong berbahasa Cina Brunei, ia bukan saja memperbaharui persahabatan China-Brunei tapi juga menyatukan sokongan orang ramai untuk kebaikan hubungan kedua-dua negara.

Majlis berkenaan juga telah dimeriahkan dengan persembahan-persembahan kebudayaan oleh kedua-dua buah negara bagi menandakan penutupan BCYOT 2020.

Menurut kenyataan, majlis berkenaan juga diadakan bagi menyokong Hari Ulang Tahun
ke-30 Hubungan Diplomatik Brunei-China dan Festival Disember Brunei 2021.