‘Tahun terburuk dalam sejarah’ sektor minyak

PARIS, 15 APRIL – Wabak koronavirus akan mengurangkan permintaan minyak global tahun 2020 ini yang melupuskan berdekad-dekad pertumbuhan dan mewujudkan ‘tahun terburuk dalam sejarah’ sektor tersebut, kata Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) hari ini.

Permintaan diunjurkan menjunam 9.3 juta tong sehari (mbd) bagi tahun ini keseluruhannya, dengan 29 mbd pada bulan April, dengan 26 mbd pada Mei – ‘jumlah membimbangkan’, menurut pengarah eksekutif agensi, Fatih Birol.

“Saya percaya beberapa tahun akan datang, apabila anda melihat 2020 kita mungkin akan menyaksikan ia adalah tahun terburuk dalam sejarah pasaran minyak global,” ujarnya kepada wartawan semasa telesidang.

“Semasa tahun terburuk ini, suku kedua mungkin menjadi lebih teruk lagi…dan April mungkin akan menjadi bulan paling teruk.”

Jumlah yang diunjurkan bagi bulan ini kali terakhir dilihat pada 1995, kata Birol, menggambarkannya sebagai ‘Black April’ dalam sejarah industri minyak.

Ekonomi global telah dilanda teruk oleh wabak koronavirus, dengan banyak industri musnah, perjalanan udara, landasan kereta api dan darat terjejas dengan perniagaan-perniagaan tidak penting ditutup, manakala ratusan juta orang di seluruh dunia dikenakan perintah berkurung.

IEA berkata langkah yang diambil oleh kumpulan OPEC+ dan negara pengeluar minyak lain untuk mengurangkan output seharusnya membenarkan permintaan untuk mula melebihkan bekalan semula pada separuh kedua 2020, sekiranya perintah berkurung untuk mengekang penularan virus dibatalkan. – AFP

Gambar fail yang diambil pada 20 April 2016 menunjukkan tangki-tangki penyimpanan minyak di pulau Jurong luar Singapura. Permintaan minyak global akan merosot tahun ini ketika langkah lockdown dikenakan untuk mengekang wabak koronavirus yang mencetuskan ekonomi terbantut, kata IEA pada 15 April 2020. – AFP