TAIB bertahlil di kubah

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Mei – Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB) bersama anak-anak syarikatnya, Insurans Islam TAIB Holdings Sdn Bhd dan Darussalam Holdings Sdn Bhd, hari ini, telah mengadakan majlis bertahlil bagi Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien dan Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit di Kubah Makam Diraja.

Hadir mengetuai rombongan ialah Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof selaku pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan TAIB.

Turut hadir ialah Pegawai Instinbat Kanan di Pejabat Mufti Kerajaan, Haji Dennie bin Haji Abdullah yang juga selaku ahli Jawatankuasa Penasihat Syariah Perbadanan TAIB; Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Fiskal), Dato Seri Paduka Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman, selaku timbalan pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan TAIB; Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi), Dr Haji Awang Abdul Manaf bin Haji Metussin selaku ahli Lembaga Pengarah Perbadanan TAIB, ahli-ahli Lembaga Pengarah, ahli-ahli Jawatankuasa Penasihat Syariah serta kakitangan lelaki Perbadanan TAIB dan anak-anak syarikatnya.

Majlis telah dimulakan dengan sembahyang fardu Zohor berjemaah, diikuti dengan bacaan Yasin, Tahlil dan Doa Arwah.

Majlis Tahlil tersebut adalah sambungan aktiviti Ramadan Perbadanan TAIB yang mana baru-baru ini, mereka telah mengendalikan majlis amal ‘Barakah Bainal Anam’ yang diadakan di seluruh negara.

Yang Berhormat Menteri Pertahanan Kedua mengepalai rombongan Perbadanan TAIB bagi majlis bertahlil di Kubah Makam Diraja.