TAIB serah lebih $130,000 untuk dana

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 MEI – Dengan semangat bersedekah di bulan suci Ramadan, Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB) dan anak-anak syarikatnya menyumbangkan derma sebanyak $130,522 kepada Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah untuk Anak-anak Yatim (DANA).

Sumbangan telah disampaikan oleh Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof selaku pengerusi Lembaga Pengarah TAIB kepada Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar) di Kementerian Pembangunan, Dr Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak selaku pemangku ketua pegawai eksekutif DANA pada majlis yang berlangsung di Pejabat Pengurusan Korporat TAIB, Airport Mall, Berakas, hari ini.

Turut hadir ialah Setiausaha Tetap (Industri) di Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Pengiran Hajah Zety Sufina binti Pengiran Dato Paduka Haji Sani selaku Lembaga Pengarah Perbadanan TAIB dan Pengarah Urusan TAIB, Datin Hajah Hasnah binti Haji Ibrahim.

Daripada jumlah sumbangan berkenaan, sebanyak $100,000 adalah daripada pihak TAIB, $10,000 daripada Insurans Islam TAIB Family Takaful, $10,000 daripada Insurans Islam TAIB General Takaful, $10,000 daripada Darussalam Holdings Sdn Bhd dan $522 daripada pegawai-pegawai dan kakitangan Insurans Islam TAIB Holdings Sdn Bhd.

Sumbangan kepada DANA adalah sebahagian daripada usaha amal yang dibuat oleh TAIB dan anak-anak syarikatnya untuk menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat amnya dan menyokong DANA dalam usaha mereka untuk meningkatkan kesejahteraan anak yatim di negara ini khususnya.

Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi menyampaikan cek berjumlah $100,000 daripada Perbadanan TAIB kepada Dr Nor Imtihan.