TAIB serah zakat lebih $3 juta

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 APRIL – Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB), hari ini, telah menyerahkan zakat berjumlah $3,984,369.53 yang diterima bagi tahun 2019 kepada Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) pada majlis yang berlangsung di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU).

Wang zakat berkenaan adalah daripada akaun pelanggan yang telah memberi kebenaran kepada Perbadanan TAIB untuk memotong sebahagian dari akaun simpanan mereka dari Januari hingga Disember 2019 mengikut garispandu syariah.

Sumbangan tersebut di serahkan oleh Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof selaku pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan TAIB kepada Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman selaku yang dipertua Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB).

Wang zakat yang diterima ini akan diagihkan kepada asnaf zakat yang berhak di Negara Brunei Darussalam yang terdiri daripada enam golongan asnaf zakat saja iaitu asnaf fakir, miskin, muallaf, al-gharimin, amil dan ibnu sabil.

Hadir menyaksikan penyerahan sumbangan tersebut, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar selaku naib yang dipertua MUIB, Pemangku Setiausaha Tetap, KHEU, Haji Mohd Serudin bin Haji Timbang dan Pemangku Setiausaha MUIB, Haji Abdul Aziz bin Haji Akop.

Turut hadir, Pengarah Urusan Perbadanan TAIB, Datin Hajah Hasnah binti Haji Ibrahim, pegawai-pegawai kanan dari Jabatan Majlis Ugama Islam dan Perbadanan TAIB.

MUIB merupakan badan agama Islam yang tertinggi di egara ini yang mempunyai bidang kuasa dalam pengurusan dan pengendalian kutipan dan agihan wang zakat iaitu berdasarkan kepada peruntukan undang-undang sebagaimana yang termaktub dalam Akta Majlis Ugama Islam dan Mahkamah-mahkamah Kadi Penggal 77, Pindaan 1984 iaitu menerusi bab-bab 114 hingga 121 dan juga Peraturan Zakat dan Fitrah 1969.

Perbadanan TAIB adalah di antara institusi kewangan Islam di negara ini yang menyalurkan perkhidmatan zakat secara automatik melalui pemegang akaun TAIB.

Perkhidmatan ini di perkenalkan pada tahun 1998 dengan objketif bagi memudahkan pemegang akaun untuk menunaikan kewajipan dalam pembayaran zakat simpanan di Perbadanan TAIB dan pelanggan boleh mendaftar untuk perkhidmatan potongan zakat secara automatik atau membuat pembayaran zakat melalui terminal layan diri di cawanan Perbadanan TAIB.

Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi ketika menyerahkan kumpulan wang zakat kepada Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin. – Gambar oleh Bahyiah Bakir