TAIB serah zakat lebih $4 juta

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 April – Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB) hari ini, telah menyerahkan wang zakat berjumlah $4,067,812.90 kepada Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU).

Majlis penyerahan wang zakat berkenaan berlangsung di Bilik Dhifayah Bangunan Baharu KHEU di mana Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof selaku pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan TAIB telah menyerahkan cek berkenaan kepada Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman selaku presiden MUIB dan penasihat Lembaga Pengarah Perbadanan TAIB.

Hadir menyaksikan penyerahan wang zakat berkenaan ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) di KHEU, Haji Mohd Seruddin bin Haji Timbang, Pemangku Setiausaha MUIB, Haji Abdul Aziz bin Haji Akop juga selaku ahli Penasihat Komiti Syariah Perbadanan TAIB dan Pemangku Pengarah Urusan Perbadanan TAIB, Hajah Norrafidah binti Haji Sulaiman.

Wang zakat berkenaan adalah hasil potongan daripada akaun pelanggan yang telah diberi kebenaran. Perbadanan TAIB merupakan institusi kewangan yang menawarkan perkhidmatan zakat.

MUIB merupakan badan agama Islam tertinggi di negara ini yang mempunyai bidang kuasa dalam pengurusan dan pengendalian kutipan dan agihan wang zakat iaitu berdasarkan kepada peruntukan undang-undang sebagaimana yang termaktub dalam Akta Majlis Ugama Islam dan Mahkamah-Mahkamah Kadi Penggal 77, Pindaan 1984 iaitu menerusi bab-bab 114 hingga 121 dan juga Peraturan Zakat dan Fitrah 1969.

Wang zakat yang diterima berkenaan akan diagihkan kepada asnaf zakat yang berhak di Negara Brunei Darussalam yang terdiri daripada asnaf fakir, miskin, mualaf, amil, al-gharimin dan ibnu sabil.

Yang Berhormat Menteri Pertahanan Kedua menyerahkan replika cek kepada Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama.