Taib: Sikap hormat, toleransi perkukuh keamanan

SIBU, 11 Sept – Amalan hidup saling hormat menghormati serta toleransi antara masyarakat pelbagai kaum yang beragama Islam dan bukan Islam di negeri ini telah mewujudkan keamanan yang kukuh dan berkekalan di Sarawak, kata Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud.

Beliau berkata, keharmonian hidup rakyat terdiri daripada masyarakat pelbagai kaum di negeri ini yang menganut agama berbeza menjadi contoh teladan kepada negeri lain.

Menurutnya, walaupun masyarakat Islam merupakan golongan minoriti di Sarawak tetapi mereka tetap menghormati masyarakat bukan Islam yang merupakan penduduk majoriti.

“Di Sarawak semua kaum tidak kira agama telah pun menunjukkan penghormatan mereka terhadap agama Islam. Hubungan semua kaum di Sarawak sentiasa terpelihara. Orang Islam pun  menunjukkan secara jelas bahawa mereka juga hormati agama lain yang wujud terlebih dahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian  semasa berucap pada majlis sambutan Maal Hijrah 1440H/2018M peringkat Negeri Sarawak di Dewan Kompleks Islam di sini, hari ini.

Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud (kanan) menyampaikan Anugerah Tokoh Khas Maal Hijrah Peringkat Negeri Sarawak Tahun 1440H kepada Insanniah Azman (tengah) yang mewakili bapanya Tan Sri Bujang Mohd Nor pada majlis perhimpunan sempena sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Sarawak 1440H/2018M hari ini. – Bernama

Taib berkata, selain memberi penghormatan kepada masyarakat Islam di negeri ini, kerajaan turut memberi kebebasan kepada masyarakat bukan Islam mengamalkan agama mereka.

“Kita di Sarawak telah dapat mengamalkan suatu amalan toleransi dan hormati menghormati yang menjadi cara hidup kita bersama-sama, bukan sahaja dapat berterus terang tetapi juga sokongan dan dorongan pengikut agama lain memberi tempat Islam sebagai agama rasmi Malaysia”, katanya.

Beliau menyeru agar masyarakat Islam tidak lupa untuk memberi gambaran kepada dunia bahawa Malaysia sebuah negara Islam telah dapat memberi tempat yang baik dan penghormatan tinggi kepada agama-agama lain.

“Semasa saya menjadi ketua menteri dahulu, bila ada lawatan ke rumah-rumah panjang, orang Iban yang bukan beragama Islam sanggup membeli dan menyediakan tikar sembahyang untuk membolehkan saya bersembahyang di rumah panjang.

“Keadaan demikian adalah unik di seluruh dunia. Kita telah dapat mempunyai kehidupan toleransi yang boleh dikatakan sebagai teladan cukup baik, khususnya kepada jiran-jiran yang bukan beragama Islam,” katanya.  – Bernama