Tuesday, April 29, 2025
25.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    TAIB undang penceramah terkenal

    Oleh Pg Fairol RMF

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Feb – Sempena Sambutan Jubli Perak ke-25 tahun Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB), satu siri aktiviti akan diadakan termasuk dua acara besar iaitu Kuliah Subuh dan Ceramah Perdana pada 10 Februari ini.

    Semasa sidang media mengenainya di Bilik Korporat TAIB, Airport Mall, di sini, hari ini, Ketua Bahagian Kewangan TAIB, Dayang Zamzaipa binti Haji Ismail juga selaku pengerusi jawatankuasa sambutan menjelaskan, TAIB telah mengundang Ustaz Don Daniyal bin Don Biyajid dari Malaysia untuk menyampaikan ceramah pada Kuliah Subuh yang akan diadakan pada jam 6:15 pagi di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah.

    Manakala itu, Ceramah Perdana yang akan diadakan pada jam 8 malam di Kompleks Sukan Kebangsaan Stadium Tertutup Hassanal Bolkiah pula akan mengetengahkan penceramah tempatan, Haji Khairul Nazif bin Haji Damit.

    Beliau berkata, adalah penting untuk menyemai kesedaran mengenai perbezaan di antara pelan kewangan konvensional dan pelan kewangan Islam.

    “Tidak seperti pelan kewangan konvensional, pelan kewangan Islam memperkaya kewangan ‘duniawi’ dan ‘ukhrawi’. Oleh itu, tajuk ‘Rezeki dan Hutang’ dipilih bagi Kuliah Subuh dan ‘Jutawan Akhirat’ bagi Ceramah Perdana,” tambah beliau.

    Ustaz Don Daniyal telah diundang untuk menyampaikan ceramah Kuliah Subuh.
    Ustaz Don Daniyal telah diundang untuk menyampaikan ceramah Kuliah Subuh.
    Dayang Zamzaipa menjelaskan kepada media mengenai kedatangan kedua-dua acara anjuran Perbadanan TAIB.
    Dayang Zamzaipa menjelaskan kepada media mengenai kedatangan kedua-dua acara anjuran Perbadanan TAIB.

    Menurut beliau, hampir 500 orang dijangka menghadiri Kuliah Subuh dan sekitar 5,000 bagi Ceramah Perdana, yang mana kedua-dua acara dibukakan secara percuma untuk orang ramai.

    Tiket-tiket kemasukan percuma boleh didapati bermula 8 Februari di Ibu Pejabat Perbadanan TAIB di Jalan Sultan, Bandar Seri Begawan, dan cawangan-cawangan TAIB di Kuala Belait, Tutong, Temburong, Platinum TAIB dan Pusat Kewangan TAIB, di Tingkat Satu, Airport Mall.

    Tiket masuk juga boleh diperolehi semasa Kuliah Subuh dan setiap seorang dihadkan sebanyak tiga tiket sahaja.

    Sebagai institusi kewangan, TAIB komited menyumbangkan aktiviti seumpama sebagai tanggungjawab sosial korporat dalam pendidikan dan melalui program ini, ujar Dayang Zamzaipa lagi, TAIB juga ingin berkongsi inspirasi dengan menyumbang kepada pembangunan negara melalui visi Brunei 2035.

    Dalam pada itu, beliau juga menyampaikan penghargaan atas sokongan Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB), Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dalam memberikan peluang mengadakan Ceramah Perdana dan Kuliah Subuh tersebut.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda