TAIWAN PELAWA PELANCONG TEROKAI KEKAYAAN BUDAYA

Satu laporan Trend Pelancongan AARP 2019 mendapati lebih ramai orang meletakkan pelancongan  sebagai  keutamaan.  Generasi hari ini  sanggup  berbelanja untuk melancong berbanding pelaburan tradisional atau  membeli  barangan  sebagai  koleksi.

Alasannya  adalah kerana mereka meletakkan nilai lebih tinggi terhadap pengalaman dan secara terbuka merebut peluang untuk menikmati kehidupan sepenuhnya. Kaji selidik dalaman agensi pelancongan antarabangsa turut mendapati pada tahun-tahun kebelakangan ini, orang  tidak  mengembara  semata-mata  untuk  mengembara.  Matlamat mereka  adalah  untuk menikmati pengalaman budaya negara lain secara lebih mendalam.

Memahami  perkara  tersebut,  Taiwan,  sebuah  pulau  sederhana besarnya, mengalu-alukan kedatangan pelancong, untuk merasai pengalaman permata budayanya yang terpendam. Ia memiliki ciri-ciri hebat dan mengagumkan, yang pastinya akan meninggalkan kenangan manis sehingga ke akhir hayat. Pulau mempesonakan  ini penuh dengan budaya yang pesat, tergabung dari elemen moden dan tradisional, yang boleh dilihat menerusi gaya hidup, makanan, bangunan dan setiap amalan mereka.

Misalnya, Taipei 101 yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Bangunan tertinggi di Taiwan ini adalah ikonik daripada segi reka bentuknya. Rekaannya menampilkan lapan seksyen di mana setiap seksyen mempunyai lapan tingkat. Angka lapan merupakan simbol kemakmuran dan masa depan gemilang dalam kebudayaan tempatan. Reka bentuk dalamannya pula menyerupai pagoda, suatu imej yang sinonim dengan seni bina popular Cina. Ramai pelawat juga mengatakan bahawa warna biru-hijau pada kemasan luaran menyerupai bayangan buluh, sejenis tumbuhan melata dan semula jadi di Taiwan.

Penduduk Taiwan berusaha keras untuk memulihara bangunan-bangunan bersejarah. Berbanding mengabaikan atau merobohkan bangunan lama, ia dipulihara dan dijadikan kedai, restoran dan pusat seni dengan reka bentuk dalaman kontemporari yang memenuhi trend semasa. Taman Budaya dan Kreatif Songshan di Taipei merupakan sebuah bangunan yang dipulihara. Ia pada asalnya kilang rokok Jepun yang dibina pada tahun 1937 dan menamatkan operasinya pada 1998. Luarannya dipulihara manakala ruang dalamannya direka semula digelar ‘Hab Kreatif Taipei’. Ia diisytiharkan sebagai tapak bersejarah ke-99 Taipei pada 2001 dan taman seluas 6.6 hektar kini mengandungi tarikan-tarikan tapak, struktur dan seni bina bersejarah bandar raya ini. Hari ini, Taman Budaya dan Kreatif Songshan merupakan tempat utama bagi penganjuran dan hos bagi pelbagai acara kesenian, kebudayaan dan kreativiti.

Taiwan juga mempunyai keunikan pelbagai kaum dengan bahasa, tradisi, kesenian dan adat resam yang berbeza.   Dikenali  sebagai   orang   asli   Taiwan,   mereka bertutur kira-kira 16 jenis bahasa Austronesia dan memiliki penampilan menyerupai kaum Melayu di Asia Tenggara. Malah salah satu daripada pakaian tradisi mereka kelihatan sama dengan penduduk bumiputera Sarawak di Malaysia.  Manakala lagu-lagu dan tarian kaum asli Taiwan ini adalah unik dengan penceritaan mengenai mitos dan legenda dan telah menarik perhatian penggemar muzik sedunia.

Penduduk Taiwan juga menyambut  sebilangan  festival sepanjang tahun.   Satu daripadanya   ialah   Festival   Tanglung,   suatu   tradisi   tahunan   yang   disambut bersempena hari pertama Tahun Baharu Cina dengan semangat keamanan, kemakmuran dan kegembiraan. Terdapat banyak festival tanglung besar di Taiwan seperti Festival Tanglung Taipei di Taipei, Festival Tanglung Langit Pingxi di New Taipei City, Bombing Lord Han Dan di Taitung dan Festival Roket Yanshui Beehive di Tainan. Setiap tempat meraikan festival tanglung secara berlainan, menurut tradisi masing-masing.  Misalnya,  Bombing  Lord Han Dan mempunyai  upacara  khas, di mana lelaki terpilih akan memainkan peranan sebagai Master Han Dan, Dewa kemakmuran dan dilontar mercun.