PEMBUKAAN SEMULA AKTIVITI PELANCONGAN PASCA COVID-19

Taiwan berusaha keras untuk kembali pulih dan jadi wilayah selamat untuk para pelancong

Seluruh dunia dibelenggu dan memerangi COVID-19 selama enam bulan dan situasi ini telah memberi impak besar kepada pelbagai sektor, antaranya sektor pelancongan adalah yang paling teruk terjejas oleh pandemik ini. Banyak negara kini mencari strategi untuk memulihkan semula industri pelancongan, antaranya meningkatkan usaha pelancongan tempatan dan bekerjasama dengan negara lain yang terkesan akibat COVID-19 untuk membuka sempadan bagi membenarkan pergerakan bebas di negara tersebut.

Walaupun masih bergelut melawan COVID-19, ada negara yang sudah pun mengurangkan sekatan perjalanan dan membuka semula aktiviti ekonomi. Taiwan merupakan antara yang membuka wilayah ini dan membenarkan pelawat dari negara berisiko rendah dan sederhana mengadakan lawatan singkat atas dasar kerja*. Pelawat boleh memohon tempoh kuarantin pendek jika mereka memenuhi syarat yang ditetapkan oleh Central Epidemic Command Center (CECC) di Taiwan**.

Pada Mei 2020, Kementerian Perhubungan dan Komunikasi (MOTC) Taiwan telah mengumumkan rancangan tiga peringkat dalam usaha membuka semula industri pengangkutan dan pelancongan serta memulihkan ekonomi pulau ini. Peringkat pertama yang kini sedang dijalankan merangkumi penyusunan rancangan pencegahan wabak di dalam industri pelancongan yang terdiri daripada panduan pelancongan praktikal dan rancangan untuk maklum balas pantas terhadap wabak. Pengendali dalam sektor pelancongan juga dilatih tentang pelancongan selamat ketika COVID-19 untuk meningkatkan keyakinan pelancong. Pada peringkat kedua pula, subsidi akan diperuntukkan bagi menyokong pembukaan sektor pelancongan termasuklah pakej lawatan individu dan berkumpulan. Peringkat ketiga adalah pembukaan pulau dan penerimaan pelancong dari negara lain apabila wabak sudah terkawal.

Pengarah Biro Pelancongan Taiwan di Kuala Lumpur, Abe Chou berkata, “Terdapat beberapa langkah untuk membuka semula sektor pelancongan. Pembukaan semula sektor ini tentu sekali memberi peluang dan harapan kepada jutaan orang. Tetapi kita mesti terus berhati-hati dan berwaspada mencegah COVID-19. Biro Pelancongan Taiwan sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa dan organisasi yang berkaitan untuk menghidupkan kembali industri pelancongan domestik. Mempromosi pelancongan tempatan adalah langkah penting sebelum pulau ini bersedia sepenuhnya untuk menerima pelancong asing. Melancong tidak akan sama seperti dahulu di kala dunia sedang menyesuaikan diri dengan normal baharu. Pihak berkuasa berkaitan di Taiwan sedang berusaha keras untuk memastikan, penduduk Taiwan dan pelancong luar negara, kekal selamat dan tenang ketika menerokai pulau ini.”

 

Seluruh dunia dapat melihat kemampuan Taiwan dalam memerangi COVID-19 dan banyak negara menjadikan Taiwan sebagai contoh dalam menangani krisis yang mencabar ini. Taiwan terdahulu memulakan pencegahan awal dengan mengeluarkan larangan perjalanan pelawat ketika kes COVID-19 sedang meningkat. Pulau ini juga menggunakan kaedah teknologi yang membantu pihak berkuasa tempatan mencari dan memantau pesakit yang disyaki, individu berisiko tinggi serta mereka yang berada dalam kuarantin. Buat masa ini, Taiwan telah merekodkan 455 kes di mana 80% daripadanya ada kes yang diimport***.

 

*Senarai wilayah dan negara berisiko rendah dan sederhana boleh didapati di sini

**Ujian COVID-19 akan dibiayai oleh pemohon sendiri.

***Data diberi adalah yang terkini ketika tarikh advertorial ini diterbitkan.