Taiwan sekat teh, serbuk kopi mengandungi sisa racun perosak

TAIPEI, 22 DIS – Taiwan baru-baru ini tidak membenarkan beberapa produk makanan import termasuk teh dan biji kopi masuk ke pulau itu selepas didapati mengandungi sisa racun perosak dan bahan cemar lain yang berlebihan.

Menurut Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) Taiwan sebanyak 23 barangan gagal melepasi pemeriksaan keselamatan di pintu sempadan termasuk yang diimport dari Jepun.

Antaranya serbuk teh hijau jenama Maccha dan Jonetsu Kakaku diimport oleh Sunrise Logistics Co. yang berpusat di Taipei, lapor Agensi Berita Taipei memetik FDA pada hari ini.

Selain itu, 200 kilogram biji kopi jenama Kaldi juga dari Jepun turut gagal melepasi pemeriksaan keselamatan. Biji kopi itu dikatakan berasal dari Brazil.

Produk makanan lain antaranya tiram segar dari Vietnam dan teh hitam dari India, Vietnam dan Jerman.

Dikatakan, bekas makanan plastik yang diimport dari China juga tidak dibenarkan masuk kerana mengandungi agen peluntur berlebihan.

Produk berkenaan sama ada akan dilupus atau dikembalikan ke negara asal, kata FDA. – Bernama