Tajam, perkasa lagi dakwah

Oleh Sim Y. H.

Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 JAN – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini, bertitah menggesa Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) untuk mewujudkan satu kurikulum khas bagi memperkasa dakwah di mana ia adalah amat penting di Brunei kerana dakwah masih belum tajam lagi dan memerlukan peningkatan.

“Demikian juga dalam KUPU SB terdapat Fakulti Usuluddin yang berkaitan dengan dakwah.

“Melalui fakulti ini, mengapa tidak diwujudkan satu kurikulum khas untuk memperkasa dakwah. Ini penting kerana dakwah juga di Brunei masih belum tajam lagi. Memerlukan peningkatan, kita perlu peka untuk mengatasi kelemahan ini.

“KUPU SB adalah berpotensi menjadi wadah dalam banyak bidang, mengapa ia tidak kita gunakan untuk kepentingan agama dan negara.”

Baginda bertitah menekankan perkara berkenaan semasa berkenan berangkat melakukan lawatan tidak berjadual ke KUPU SB, di ibu negara.

KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ketika berkenan berangkat ke asrama pelajar dalam lawatan tidak berjadual ke KUPU SB. – Gambar oleh Muiz Matdani

KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan berangkat bagi lawatan tidak berjadual ke Kolej Kediaman Siswa, KUPU SB.
Baginda Sultan berkenan mengurniakan titah semasa berangkat mengadakan lawatan ke KUPU SB. – Gambar oleh Infofoto
KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan dijunjung bergambar ramai semasa berangkat bagi lawatan tidak berjadual ke Kolej Kediaman Siswa, KUPU SB.

Baginda Sultan berkenan mengadakan lawatan ke asrama pelajar KUPU SB.

Baginda bertitah mahu KUPU SB berganding bahu dengan Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) bagi memperkukuhkan aliran Ahli Sunnah Waljama’ah di negara ini. Terdahulu dalam titah itu, Baginda menekankan bahawa penubuhan KUPU SB adalah sebagai mercu tanda memartabatkan perguruan agama di negara ini yang dihasratkan untuk menjadi sebuah institusi pengajian perguruan agama yang unggul serta yang mampu untuk memenuhi keperluan negara, di samping juga bersedia untuk membuka pintunya ke luar negara.

“Masa depan KUPU SB pada hemat Beta, adalah cerah berdasarkan kerjaya perguruan agama adalah sentiasa diperlukan. Pada sesuatu masa dahulu, Brunei pernah ketandusan tenaga guru agama sehingga untuk sekian lamanya, terpaksa meminjam dari negara jiran.”

Baginda bertitah, “Kita tidak lupa untuk merakamkan penghargaan dan terima kasih yang setinggi-tinggi kepada negara jiran berkenaan. Semoga ini akan menjadi jambatan untuk kedua-dua negara terus bekerjasama dalam bidang yang amat bermanfaat.”

Baginda seterusnya bertitah bahawa kini Brunei, telah pun mampu berdiri sendiri mempunyai pusat pengajian perguruan untuk mengeluarkan guru-guru agama terlatih, lagi berilmu.

“Beta berharap pusat ini akan terus beroperasi tanpa sebarang gangguan yang menghambatnya, uruslah dan tadbirlah ia dengan baik untuk menjana ilmu.

“Latihan, penyelidikan, perkhidmatan dan jati diri sebagaimana terungkap dalam misi penubuhannya.

“Letakkanlah di hadapan matlamat penubuhan, iaitu untuk melahirkan sumber tenaga manusia yang berwibawa dalam perguruan agama, janganlah lari daripada matlamat ini, sehingga terjelmalah satu masyarakat bangsa yang benar-benar berilmu, beramal dan bertakwa menurut ajaran Ahli Sunnah Waljama’ah.”

Baginda bertitah menggesa negara supaya tidak terpengaruh dengan pelbagai teori dan pendapat dalam era baharu sekarang tetapi terus konsisten dengan ajaran Ahli Sunnah Waljama’ah.

“Dalam era baharu sekarang, macam-macam teori atau pendapat sedang dijaja. Negara Brunei tidak usahlah terpengaruh dengannya, bahkan adalah memadai dan selamat untuk kita konsisten dengan ajaran Ahli Sunnah Waljama’ah.”

Baginda bertitah menekankan agar institusi itu akan menumpukan masa untuk membina Brunei dengan ilmu-ilmu yang bermanfaat seperti contohnya ilmu Bahasa Arab.

“Kalau tidak silap Beta, KUPU SB mempunyai Program Pendidikan Bahasa Arabnya, program ini mustahak dipertahankan. Sambil KUPU SB juga wajar menyumbang kepada sekolah Arab untuk memperkasa Bahasa Arab kerana mata pelajaran bahasa ini, masih sahaja dilihat lemah di sekolah Arab berbanding bahasa lain.

“Beta sukacita mengetahui bahawa KUPU SB, mempunyai banyak rancangan yang berkebajikan seperti mengadakan bengkel-bengkel, seminar-seminar, ceramah-ceramah dan seumpamanya. Ini memanglah bagus, ditambah lagi dengan KUPU SB jika turut menyumbang ke arah memperkasa Bahasa Arab di sekolah Arab dan dakwah Islamiah.

“Sumbangan kepakaran di sini mungkin sahaja mampu membawa perubahan-perubahan yang dihajati.

“Kita memang sangat berhajat kepada perubahan-perubahan positif dalam semua bidang termasuk bidang pendidikan, dalam bidang dakwah sosio. Kedua-dua bidang ini turut menentukan sejauh mana kita berjaya membangun kerana ia juga adalah pelaburan.”

Pada lawatan tidak berjadual ke KUPU SB, Baginda Sultan berkenan berangkat meninjau beberapa bahagian dan kemudahan-kemudahan serta prasarana pembelajaran termasuk pejabat-pejabat fakulti, perpustakaan, asrama pelajar, dewan makan dan kantin.

KUPU SB merupakan satu-satunya kolej universiti yang menawarkan program-program latihan dalam bidang perguruan agama di Negara Brunei Darussalam.

KUPU SB merupakan kesinambungan dari Maktab Perguruan Ugama Seri Begawan iaitu berikutan pengisytiharan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam selaku Canselor KUPU SB dalam titah Baginda sempena Sambutan Awal Tahun Baharu Hijrah 1428 bersamaan 20 Januari 2007.

Sejak penaikan tarafnya, KUPU SB giat menawarkan pelbagai program latihan dalam bidang perguruan agama pada peringkat pengajian sijil, diploma, ijazah dan ijazah lanjutan serta kursus-kursus pemantapan bagi bakal guru dan guru yang sudah berkhidmat yang disokong oleh tenaga-tenaga akademik terdiri daripada profesor madya, penolong kanan profesor, pensyarah, penolong pensyarah dan guru agama.

KUPU SB berdiri dengan falsafah tersendiri iaitu terus berusaha bagi pembinaan umat bermaruah berasaskan keupayaan sistem pendidikan perguruan dalam menjana tradisi pengajaran-pengajaran formal dan non-formal, pemaduan tenaga pendidik yang berwibawa, berakhlak mulia, berbudaya ilmu yang tinggi dan kesediaan masyarakatnya untuk dibimbing bagi mendapatkan keberkatan, keredhaan dan keampunan Allah SWT.

Ini dilaksanakan melalui pengintegrasian ilmu, latihan, kajian, perkhidmatan, keterampilan dan teknologi sepertimana yang diperlukan oleh abad ke-21 dan perkembangan revolusi teknologi 4.0.

KUPU SB mempunyai tiga buah fakulti utama iaitu Fakulti Pendidikan, Fakulti Syariah dan Fakulti Usuluddin yang disokong oleh enam pusat iaitu Pusat Ilmu Teras, Pusat Bahasa, Pusat Pengajian Lepas Ijazah dan Penyelidikan, Pusat Pengkajian Kefahaman Ahli Sunnah Wal Jama’ah, Pusat Fiqh al-Usrah dan yang terbaru ditubuhkan, Pusat Pengkajian Jawi dan Kitab Turath.

Bagi pengajian KUPU SB bagi sesi tahun 2019/2020, jumlah pelajar keseluruhan ialah seramai 775 orang di mana seramai 310 orang adalah pelajar lelaki dan seramai 465 orang adalah pelajar perempuan.