Tajuk berita portal mengenai Musa Aman tidak tepat

KOTA KINABALU, 10 Julai – Tajuk berita ” “Musa Aman Drops Suit Against Shafie: Former CM Ordered to Pay Costs” (Musa Aman gugurkan saman terhadap Shafie; Bekas CM diperintah bayar kos) yang diterbitkan hari ini oleh sebuah portal berita tempatan sangat mengelirukan dan tidak tepat, kata peguam bekas ketua menteri Sabah itu.

Dalam reaksi kepada tajuk berita itu ketua pasukan peguam kepada Musa, Tengku Fuad Tengku Ahmad berkata saman Musa terhadap Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal masih berjalan di mana Mahkamah Tinggi telah menetapkan 3 Sept ini bagi membuat keputusan mengenai permohonan Shafie membatalkan saman itu,

“Tajuk utama itu tidak tepat dan salah pernyataan. Pada 6 Jun, Musa memfailkan saman pemula terhadap Tun Juhar dan Shafie untuk mengisytiharkan antara lain bahawa Musa merupakan Ketua Menteri Sabah yang sah.

“Pada hari yang sama (6 Jun), Musa mengarahkan kami (pasukan perundangan) untuk tidak meneruskan saman awal terhadap Tun Juhar dan Shafie bertarikh 17 Mei. – Bernama