Tajuk Spider-Man 3 akhirnya didedahkan

Setelah peminat berteka-teki mengenai judul sekual filem Spider-Man 3 akan datang, akhirnya spekulasi tersebut terjawab apabila pelakon yang memegang watak Spider Man, Tom Holland mendedahkannya.

Menerusi laman Instagramnya dan juga beberapa akaun rasmi yang berkaitan, terdapat sebuah video pendek dimuatnaik Holland yang menyaksikan dirinya sedang berbual bersama Zendaya dan Jacob Batalon. Dalam video itu, ketiga-tiga mereka saling berbincang dan menyalahkan sesama sendiri mengenai tajuk filem itu yang sebelum ini turut ‘diramalkan’ mereka.

Pada pengakhiran video tersebut, kelihatan sebuah papan putih yang tertera beberapa tajuk perbincangan mereka sebelum perkataan ‘No Way Home’ diketengahkan, menunjukkan bahawa itulah tajuk bagi filem Spider-Man 3 yang akan ditayangkan pada Disember 2021.

Ketika ini, selain nama-nama pelakon asal filem terbitan Marvel Studios ini dimuktamadkan, peminat masih tertanya mengenai senarai penuh yang lain memandangkan terdapat khabar angin bahawa pelakon Spider-Man terdahulu akan turut serta. Bagaimanapun, Holland berkata dakwaan tersebut sama sekali tidak benar. – Agensi