Tajul tidak pinggirkan keluarga

Penyanyi Ku Sayang Kau Rindu, Tajul Ariff, 22, akan memastikan keluarganya tidak terpinggir apabila anak-anak tidak dapat pulang menyambut Syawal, tahun ini.

Hanya dua adik beradik Tajul dapat pulang berhari raya menemani ibunya di Seremban, Negeri Sembilan, selebihnya terpaksa menyambut Aidilfitri di rumah sendiri berikutan tidak dibenarkan merentas negeri dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Tajul berkata, dia menyambut Syawal bersama keluarga mentuanya di Cheras berikutan tidak dapat pulang berhari raya.

Anak bongsu daripada 10 beradik itu berkata, meskipun dipisahkan oleh jarak, mereka tetap membuat panggilan video pada pagi Syawal.

“Mak paling merindui cucunya, memandangkan sudah lebih dua bulan tidak bertemu. Jika diikutkan, orang tua saya mempunyai ramai cucu, lebih 20 orang.

Tajul memastikan keluarganya tidak terpinggir apabila anak-anak tidak dapat pulang menyambut Syawal. – Agensi

“Jadi apabila berkumpul pastinya meriah dengan keletah cucu-cucunya. Itu yang membuatkan mereka seronok tetapi agak sunyi apabila dua beradik sahaja dapat pulang ke Seremban kerana tinggal berdekatan, tahun ini.

“Saya berharap kita dapat memerangi pandemik COVID-19 dengan segera supaya dapat bertemu dengan keluarga,” katanya kepada media.

Tajul berkata, ini adalah kali pertama meraikan lebaran bersama cahaya mata, Adriana Carissa yang kini berusia enam bulan.

Katanya, dia tetap gembira menyambut bersama keluarga kecilnya walaupun sambutan Syawal berbeza.

“Saya dan isteri lebih teruja menyediakan persiapan baju raya untuk Adriana, bagaimanapun untuk kami hanya sepasang sahaja. Sedih tidak dapat pulang ke kampung halaman di Seremban membawa anak berjumpa keluarga dan saudara mara.

“Lebih lagi, ini adalah raya pertama buatnya, tetapi tak mengapalah, Adriana masih kecil dan tidak memahami erti raya. Mujurlah, keluarga isteri, jadi dapatlah juga kami beraya bersama keluarga.

“Meskipun sederhana, saya bersyukur masih ada keluarga. Saya masih berpeluang merasai nikmat meraikan Syawal bersama anak dan isteri,” katanya.

Berkongsi perkembangan kerjaya-nya, Tajul merancang merakamkan single solo terbaharu, tetapi terpaksa ditunda berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Bukan single solo ditunda, malah rakaman lagu raya gabungan artis di bawah naungan FMC Music juga dibatalkan kerana tempoh PKP.

“Kami tidak boleh rakam disebabkan ada beberapa penyanyi yang tiada di ibu negara seperti Wani Syaz dan Syed Zakwan yang berada di Johor. Takkanlah mereka mahu merentas negeri semata-mata untuk merakamkan lagu, jadi terpaksa dibatalkan.

“Bagaimanapun, Alhamdulillah, saya tetap sibuk dengan pelbagai program dalam tempoh PKP. Mungkin disebabkan rezeki anak, kerja yang masuk juga tak putus,” katanya.

Selain menyanyi, Tajul berkata, dia berniaga bagi memastikan pendapatannya tidak hanya bergantung pada kerjaya seni.

“Antara perniagaan yang diusahakan adalah kereta sewa, gel rambut dan produk untuk wanita seperti bulu mata palsu dan bengkung,” katanya. – Agensi