‘Tak kisah bergelumang lumpur’

SINGAPURA – Longkang Adventures, ditubuhkan pada Oktober 2020, merupakan gagasan Nor Akasha Abdul Rahman. Lelaki berusia 37 tahun itu berasa sedih kerana terpaksa menutup perniagaan makanannya disebabkan COVID dan memutuskan untuk mencari ketenangan mendaki bukit dan ‘hiking’ dalam hutan.

Bekas pengajar kem luar yang bekerja bebas itu sentiasa tertarik kepada alam semula jadi, setelah menyertai aktiviti perkhemahan bersama bapanya sejak berusia lapan tahun.

Dia menyiarkan gambar-gambar aktiviti hiking berkenaan di media sosial, yang mendorong orang memintanya supaya membawa bersama anak mereka untuk mengalami aktiviti luar rumah yang semula jadi dan menyeronokkan.

Nama Longkang Adventures diinspirasikan daripada kenangan pada masa kanak-kanak bermain dalam longkang bersama kawan-kawannya. Hari ini, dia mengongsikan ilmunya serta minatnya yang mendalam terhadap aktiviti luar rumah kepada generasi kanak-kanak sekarang.

Program khas syarikat, iaitu Longkang Fishing dibuka kepada kanak-kanak berusia empat hingga 12 tahun dan biasanya dianjurkan pada hujung minggu dalam hutan di barat Singapura.

Peserta belajar cara-cara membuat tangguk mereka sendiri dengan menggunakan kemeja-T buruk dan kayu. – ANN/Straits Times

Peserta belajar cara-cara membina rakit menggunakan kayu dan tali. – ANN/Straits Times

Ibu bapa tidak dibenarkan ikut sama, dan tugas mereka berakhir selepas menghantar dan menurunkan anak mereka.

Kanak-kanak cenderung bergantung pada ibu bapa mereka sebagai jaringan keselamatan apabila orang dewasa hadir semasa aktiviti mereka, jelas Nor Akasha. Tanpa kehadiran ibu bapa mereka, kanak-kanak lebih leka dalam pengalaman dan lebih rela keluar daripada keselesaan mereka.

Dia akan segera membenarkan peserta menyedari bahawa mereka bukan mengikuti program hanya untuk berjalan-jalan santai dalam taman. “Saya memberitahu mereka lebih awal supaya bersiap sedia untuk mengotorkan baju dan badan mereka dengan berpijak atau pun merangkak dalam lumpur sejurus selepas kami memasuki hutan.”

Tidak lama selepas berjalan dalam hutan, peserta belajar cara-cara membuat tangguk mereka sendiri dengan menggunakan kemeja-T buruk dan kayu. Seterusnya mereka akan menangkap ikan cara tradisional dalam anak sungai berlumpur.

Permintaan yang sungguh memberangsangkan telah mendorongnya mewujudkan program lain, seperti membina rakit, di mana kanak-kanak belajar prinsip membina sebuah rakit dengan menghasilkan rakit kecil menggunakan kayu dan tali.

Teori berkenaan kemudiannya dipraktikkan atau dilaksanakan apabila peserta berpeluang menaiki rakit yang dibina oleh Nor Akasha.

Tanpa mengambil kira jenis program untuk hari itu, setiap sesi diakhiri dengan aktiviti bebas yang menyeronokkan dalam air. Pada tahap ini, sebarang sifat yang mudah lemah semangat atau perasaan loya apabila bermain dalam lumpur akan menjadi satu kenangan lama bagi kebanyakan peserta.

Membiarkan kanak-kanak menjadi kanak-kanak merupakan rukun asas Longkang Adventures. Nor Akasha menyesali melihat kanak-kanak moden sekarang cenderung dimanjakan oleh ibu bapa yang terlalu melindungi anak mereka.

Dia tidak berasa segan mengenai faktor risiko yang datang bersama penyertaan programnya dan tidak memberi jaminan bahawa mereka bebas sepenuhnya daripada kemalangan atau kejadian yang tidak diingini, walaupun belum pernah berlakunya sebarang kecederaan serius selain luka melecet dan lebam-lebam atau calar-calar.

Namun ia bukan bermaksud aspek keselamatan tidak diutamakan. Nor Akasha akan meninjau lokasi programnya dengan teliti dan secara menyeluruh. Dia akan memastikan sungai di mana peserta digalakkan melompat adalah bebas daripada batu, dan dia bersedia membantu setiap kanak-kanak yang terjun.

Di samping mencari lokasi yang sesuai di kawasan yang kekurangan tanah di Singapura, Nor Akasha berkata salah satu cabaran terbesarnya adalah mendapatkan kanak-kanak mengemas dan meninggalkan khemah pada akhir sesi kerana mereka masih ingin terus bermain-main dalam air.

Namun semua keseronokan pasti akan berakhir.

Selepas kembali ke dunia tamadun, kanak-kanak bersatu semula dengan ibu bapa mereka.

“Ramai ibu bapa melayan anak mereka bagaikan putera dan puteri. Rupa wajah mereka apabila melihat anak-anak mereka basah dan berlumpur selepas program adalah sungguh berharga,” kata Nor Akasha. – ANN/Straits Times