Tak perlu beli pengikut

Penyanyi, Alif Satar, mendakwa tidak sekali-kali membeli pengikut semata-mata untuk kelihatan gah di YouTube. Menganggap tindakan golongan selebriti memilih platform terbabit untuk berkongsi video dan aktiviti diri sebagai perkembangan baik, dia sebaliknya lebih suka bersikap telus berhubung perkara itu.

“Memang sejak kebelakangan ini, kita dapat lihat ramai artis mempunyai saluran YouTube mereka sendiri. Ia perkembangan yang sihat. Saya pula bersikap telus dalam hal ini, Jadi, tidak wujud istilah membeli pelayar atau pengguna, semata-mata untuk kelihatan gah.

“Saya perlu menunggu selama setahun untuk mencapai jumlah 200,000 pengikut atau ‘subscriber’ di laman itu. Justeru, saya memang tabik pada Datuk Seri Siti Nurhaliza yang berjaya mengumpul 260,000 pengikut dalam tempoh dua minggu. Penangan dan populariti beliau memang kuat,” katanya kepada media baru-baru ini.

Menurut Artis Versatil Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-31 itu, pengikut salurannya ketika ini hampir mencecah angka 300,000. “Saya lebih suka mengeluarkan video yang betul-betul berkualiti sahaja untuk disajikan kepada penggemar saluran itu. Tidak perlulah memuat naik banyak video, semata-mata nak bagi pilihan kepada pengikut. Mereka juga tentunya mengharapkan sesuatu yang bermutu.

Kalau nak tengok lakonan saya, mereka boleh menontonnya di kaca TV. Jadi, saya perlu sentiasa kreatif dan peka menyajikan kandungan yang pelbagai. Saya sendiri suka berkongsi aktiviti mengayuh basikal, penyertaan dalam pertandingan Ironman atau apa sahaja kegiatan dilakukan pada waktu senggang, termasuk bersama anak.

Pendek kata, saya kongsi aktiviti yang dekat dengan diri bersama pelayar, termasuk menyanyikan lagu penyanyi lain dengan gaya tersendiri. Sebelum ini, saya ada memuat naik video berbuka puasa dan melaungkan takbir raya bersama banduan,” katanya.

Alif yang turut dikenali sebagai pengacara dan pelakon berkata, dirinya disokong pasukan kerja yang baik bagi memastikan setiap rakaman dimuat naik mempunyai kualiti tinggi. – Agensi

Menurut Artis Versatil Popular itu, pengikut salurannya ketika ini hampir mencecah angka 300,000. – Agensi