Wednesday, April 24, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Tak perlu pas masuk, insurans ke Thailand

    BANGKOK, 17 JUN – Mulai 1 Julai, pengembara tidak perlu lagi memohon Pas Thailand dan membeli insurans COVID sebelum masuk ke negara itu dalam usahanya menambah angka ketibaan pelancong dan memulihkan industri pelancongannya.

    “Pas Thailand”, merupakan satu sistem yang mewajibkan pengembara asing menunjukkan salinan dokumen vaksinasi, polisi insurans dan dokumen berkaitan sebelum mereka menerima kod QR untuk digunakan semasa memasuki negara itu.

    Bagaimanapun, proses pendaftaran pra-ketibaan dan insurans perubatan dilihat telah mengurangkan minat pelancong.

    Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) Dr Taweesin Visanuyothin berkata pengembara asing masih perlu menunjukkan bukti mereka sudah divaksin atau menunjukkan keputusan ujian COVID negatif bagi yang tidak atau belum lengkap divaksin.

    “Pengembara asing tidak lagi perlu membeli polisi insurans COVID minimum AS$10,000,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

    Gambar fail bertarikh 26 April 2021 menunjukkan orang ramai memakai pelitup muka ketika berjalan di tambangan Pratunam, Bangkok, selepas kerajaan mengenakan sekatan-sekatan ketat bagi pemakaian pelitup muka berikutan penularan kes-kes COVID-19 di Thailand. – AFP

    Sementara itu, Taweesin berkata arahan memakai pelitup muka juga akan digugurkan kecuali di tempat yang sesak dan tidak mempunyai pengudaraan yang baik.

    Pelitup muka diwajibkan di khalayak ramai di Thailand, termasuk di kawasan terbuka, sejak pertengahan 2021 untuk mengekang penularan COVID-19.

    Taweesin berkata pusat hiburan akan dibenarkan beroperasi sehingga 2 pagi berdasarkan peraturan pra-pandemik.

    Pelonggaran langkah-langkah itu akan berkuat kuasa sebaik sahaja pengumuman rasmi disiarkan dalam Warta Diraja.

    Bagi memulihkan industri pelancongannya, mulai 1 Jun, pelancong asing yang lengkap divaksin bebas melancong ke mana sahaja di Thailand.

    Selain itu, pelancong asing yang tidak atau belum lengkap vaksinasi tidak perlu menjalani kuarantin mulai 1 Jun, tetapi mesti memuat naik bukti keputusan RT-PCR negatif atau ATK profesional dalam tempoh 72 jam perjalanan menerusi Pas Thailand. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Utara hantar delegasi ke Iran

    PYONGYANG, 24 APRIL - Delegasi ekonomi Korea Utara peringkat tinggi sedang dalam perjalanan ke Iran, kata media negara Korea Utara pada hari ini, untuk...