Tak perlu pembelian panik

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 SEPT – Sejak penekanan terhadap isu sekatan pergerakan menyeluruh, (full lockdown) kelmarin, orang ramai mula berasa cemas dengan melakukan pembelian panik.

Kebanyakan pasar raya dipenuhi orang ramai yang beratur panjang menunggu giliran untuk memasukinya dan gambar-gambar mengenai barisan panjang dan rak-rak yang kosong akibat pembelian panik ini juga tular di media sosial hari ini.

Melihat suasana membimbangkan itu, Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar pada sidang media di Dewan ‘Al-Afiah, Kementerian Kesihatan hari ini menegaskan, sebolehnya negara cuba untuk mengelak daripada mengambil langkah sekatan menyeluruh ini.

“Kita masih berusaha untuk memastikan ia dapat dikawal dan yang penting adalah untuk memastikan orang ramai untuk terus teranah di rumah.

“Jika masih ramai yang berkumpul-kumpul membeli barang, dikhuatiri akan timbul masalah lain pula.

“Orang ramai juga dinasihatkan tidak perlu membeli barangan keperluan yang tidak diperlukan, cukup dengan apa yang ada sebelum ini,” tambahnya.

Penekanan isu sekatan pergerakan menyeluruh kelmarin dibuat hanya jika orang ramai tidak mengambil serius mengenai arahan teranah di rumah dan kes-kes dari rumah persendirian kekal tinggi, dalam usaha mencegah penularan lebih meluas.

Orang ramai kelihatan berbaris panjang ketika hendak memasuki sebuah pasar raya di negara ini, kelmarin.