Tak popular punca Karya Poovaa disingkir?

Penyanyi dan komposer bukan Melayu, Poovaa berkongsi perasaan kecewa apabila single bahasa Melayu pertama yang berjudul Karya ditolak tanpa alasan kukuh oleh sebuah program muzik popular.

Poovaab berkata, dia tidak pasti mengapa karya yang dihasilkan oleh komposer, Omar K, ShazeeI Shak dan Firdaus Rahmat itu dikatakan tidak memenuhi kriteria dimahukan oleh sesebuah carta muzik tempatan.

“Bohonglah jika saya tidak sedih. Saya akui, program muzik menjadi medan penggiat muzik mengetengahkan karya dan bakat. Jadi, apabila ditolak mentah-mentah, pastinya saya kecewa kerana peluang menghadiri ujibakat pun tiada.

“Selepas pihak pengurusan menghantar lagu, saya menunggu untuk menghadiri sesi ujibakat. Saya tunggu mereka memberikan tarikh, namun, tiada tarikh yang diberikan.

“Kemudiannya, wakil program muzik mengatakan lagu Karya tidak memenuhi kriteria. Namun, mereka tidak memberikan penjelasan mengenai kriteria apa yang dimaksudkan,” katanya kepada media.

Poovaa tidak pasti kenapa single Karya ciptaan Omar K, ShazeeI Shak dan Firdaus Rahmat dikatakan tidak memenuhi kriteria dimahukan oleh sesebuah carta muzik tempatan. – Agensi

Poovaa atau nama sebenarnya, Poova Nesvary Sri Rama, mengatakan Karya adalah lagu yang baik, apatah lagi, dihasilkan oleh komposer terkenal.

Justeru, katanya, dia tidak memahami kenapa lagu Karya diberi layanan sedemikian.

“Saya memilih bekerjasama dengan komposer terkenal disebabkan karyanya banyak menembusi carta muzik. Apabila saya dengar lagu Karya, saya yakin boleh diterima memasuki anugerah muzik tempatan.

“Jadi, saya tidak faham mengapa lagu Karya dikatakan tidak memenuhi kriteria. Saya bukanlah penyanyi baharu.

“Entahlah, saya merasakan mungkin saya tidak banyak pengikut dalam laman sosial dan tidak popular.

“Saya rasa sekarang ini bakat tidak penting, populariti lebih dipandang,” katanya.

Penyanyi kelahiran Tanjung Karang, Selangor itu berkata, sekiranya program muzik lebih mengutamakan populariti, ia adalah satu perkara yang menyedihkan kerana banyak bakat berkualiti, meski pun tidak mempunyai pengikut ramai. – Agensi