Tak wajar boikot artis yang sudah mohon maaf – Amar Baharin

Lebih 10 tahun berkecimpung dalam industri seni, pelakon Amar Baharin berkata dia sentiasa berpegang pada prinsip tidak menghiraukan pendapat warganet dan hanya mengikut kata hatinya dalam membuat keputusan.

Amar, 36, berkata sebagai selebriti dia tidak boleh lari daripada kecaman dan kritikan warganet yang sentiasa mencari salah terhadap apa sahaja tindakan yang dilakukan mereka.

“Saya sepanjang hidup memang tak pernah berpegang pendapat warganet sebab saya ada prinsip hidup sendiri terutama apabila bekerja dengan orang yang kita berurusan dalam hal kerja itu.

“Tetapi mana pendapat yang boleh guna, kita ambil untuk perbaiki diri kita yang mana tak elok jadikan angin lalu sahaja, jujur dengan diri sendiri InsyaAllah peminat boleh terima,” katanya kepada mStar.

Amar ditemui semasa sidang media drama Hati Yang Dikhianati yang diadakan secara atas maya, baru-baru ini.

Amar, 36, berkata sebagai selebriti dia tidak boleh lari daripada kecaman dan kritikan warganet yang sentiasa mencari salah terhadap apa sahaja tindakan yang dilakukan mereka. – Agensi

Suami pelakon, Amyra Rosli ini mengulas mengenai isu hangat membabitkan video lawak lucah pelakon, Fauzi Nawawi dalam sebuah program televisyen, baru-baru ini.

Keterlanjuran kata Fauzi itu menyebabkan ada segelintir warganet mengambil keputusan untuk memboikot selebriti dan program yang terlibat.

Berkongsi pandangannya, Amar berkata tidak wajar warganet membuat tindakan sedemikian kerana artis juga merupakan manusia biasa dan perlu diberi peluang untuk memperbetulkan kesilapan.

“Saya pun tidak tahu cerita penuh sebab saya tidak melihat video tersebut sampai habis, mungkin warganet tidak boleh terima dengan cara dia bercerita sebab terlalu terbuka sangat.

“Tapi dia pun dah minta maaf, tak wajar la nak boikot, (mereka) dah minta maaf tu pun satu tindakan yang sepatutnya,” ujarnya.

Bercakap mengenai Hati Yang Dikhianati, selain Amar, drama itu turut dibintangi oleh Isyariana, Mona Ellen, Zamarul Hisham dan Mia Nasir.

Drama itu akan kembali disiarkan bermula 22 Oktober lalu pukul 6 petang di saluran Astro Prima, Setiap hari Isnin hingga Jumaat. – Agensi