Takaful Brunei anjur Khatam Al-Quran Dalam Talian

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 MEI – Bagi meneruskan amalan tahunan mereka untuk berkumpul semasa bulan suci Ramadan dan susulan nasihat untuk mengelak perhimpunan sosial serta mengamalkan penjarakan sosial, Syarikat Takaful Brunei Darussalam Sdn Bhd dan subsidiarinya, Takaful Brunei Am (TBA) dan Takaful Brunei Keluarga (TBK) untuk kali pertama dalam 26 tahun, mengadakan khatam Al-Quran dalam talian menerusi aplikasi Zoom.

Dalam satu kenyataan yang diterima, majlis khatam Al-Quran dalam talian disertai oleh hampir 200 kakitangan Takaful Brunei dan diadakan dari pejabat mereka di Bandar Seri Begawan, Beribi, Kiulap, Tutong, Temburong dan Kuala Belait sementara yang lainnya menyertai dari rumah mereka memandangkan Takaful Brunei telah memohon syif ‘Bekerja Dari Rumah’ sebagai sebahagian daripada pelan kesinambungan perniagaan (BCP) mereka sejak akhir Mac 2020.

Pegawai Eksekutif Kanan Pematuhan dan Pengurusan Risiko Takaful Brunei, Dayang Nur Sadrina binti PKDP Haji Suhaili Al-Hafiz berkata “adalah penting Takaful Brunei mampu bertahan pada masa krisis ini untuk memastikan perkhidmatan berterusan kepada pelanggan kami dan aktiviti amal, dengan mengaktifkan Pelan Kesinambungan Perniagaan (BCP) kami yang termasuk memisahkan kumpulan operasi utama dan memindahkan kakitangan BCP ke lokasi BCP yang telah ditetapkan.

“COVID-19 juga menunjukkan kepada pelanggan kami mengenai kepentingan mendapatkan Takaful mereka menerusi pusat panggilan kami, WhatsApp dan aplikasi mudah alih Takaful Brunei demi kesenangan dan keselamatan mereka. Syarikat telah belajar untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran bekerja baharu untuk terus memberikan pengalaman pelanggan yang positif.”

Takaful Brunei tetap mengamalkan dan mempromosi semangat Ramadan dan menjalankan aktiviti berkebajikan seperti Jalur Kasih (usaha tanggungjawab sosial Takaful Brunei untuk golongan yang kurang bernasib baik) sementara mengambil langkah berjaga-jaga semasa pandemik ini.

Pada tahun-tahun sebelum ini, Takaful Brunei mengadakan khatam Al-Quaran di masjid-masjid di seluruh ne-gara, merebut peluang untuk berbuka puasa dan menjalankan solat berjemaah Maghrib. Takaful Brunei akan memberikan sumbangan kepada masjid-masjid, anak yatim piatu dan menyerah sumbangan Amal Jariah Takaful TBK kepada pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti SMARTER, Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam dan Persatuan KACA.

Sempena Ramadan tahun ini, sumbangan kepada anak yatim piatu akan dilanjutkan sebagai sebahagian daripada inisiatif Jalur Kasih Takaful Brunei untuk menyerahkan sumbangan oleh kakitangan Takaful Brunei. Penyerahan sumbangan Amal Jariah Takaful TBK kepada pelbagai NGO akan diadakan pada tarikh kemudian.

Majlis khatam Al-Quran dalam talian disertai hampir 200 kakitangan Takaful Brunei dan diadakan dari pejabat mereka di Bandar Seri Begawan, Beribi, Kiulap, Tutong, Temburong dan Kuala Belait. – Gambar serahan Takaful Brunei