Takaful Brunei bantu keluarga kurang berkemampuan

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 APRIL – Takaful Brunei, baru-baru ini, telah menghulurkan bantuan kepada sebuah keluarga yang kurang berkemampuan sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat bulanan mereka.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, Takaful Brunei telah menjalankan aktiviti Jalur Kasih setiap bulan sejak awal 2019 untuk membantu lebih banyak keluarga dan menanamkan budaya beramal dalam kalangan warga syarikat, pada masa yang sama menggalakkan orang awam untuk membantu mereka yang memerlukan.

Kenyataan menyatakan, Takaful Brunei telah menyumbangkan keperluan asas seperti makanan dalam tin, pencuci pakaian, bahan-bahan masakan, beras dan banyak lagi.

Takaful Brunei berharap ia dapat menggalakkan orang awam untuk lebih peka terhadap mereka yang memerlukan dan masyarakat akan dapat bersama-sama memberikan bantuan terutamanya semasa pandemik COVID-19 ini, yang menyukarkan lagi mereka yang kurang bernasib baik.

Takaful Brunei telah menyumbangkan keperluan asas kepada sebuah keluarga yang kurang berkemampuan.