Takaful Brunei bantu kumpul darah bagi yang memerlukan

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 JULAI – Dalam usaha untuk terus menambah bekalan tabung darah untuk mereka yang memerlukan di negara ini, Takaful Brunei dengan kerjasama Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) telah menganjurkan kempen derma darah bagi para kakitangan Takaful Brunei dan penyewa Bangunan Dar Takaful IBB Utama.

Kempen yang berlangsung di Tingkat 1 Ibu Pejabat Takaful Brunei di ibu negara itu dengan tema ‘Donate Blood, Save Lives. Every Drop Matters’ diharap akan dapat membantu menyelamatkan nyawa melalui sumbangan darah, sekali gus menambah bekalan darah di tabung darah kebangsaan.

Memandangkan keadaan negara yang berdepan dengan wabak COVID-19 ketika ini, para penderma darah yang berpotensi terlebih dahulu akan membuat perjanjian derma darah untuk memastikan langkah-langkah penjarakan sosial dan fizikal dapat diamalkan dan mengelakkan kesesakan orang ramai.

Pada kempen derma darah tersebut, Pusat Pendermaan Darah, Hospital RIPAS hanya akan mengambil darah daripada individu yang memenuhi kriteria dan berada dalam keadaan sihat semasa menderma.

Dengan slogan mereka ‘Bersama Kita Lindungi’, Takaful Brunei akan melakukan kempen derma darah secara berkala sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat mereka dan mengucapkan terima kasih kepada mereka yang menjayakan kempen tersebut.

Selain itu, Takaful Brunei juga percaya bahawa aktiviti ini adalah cara yang dapat dilihat oleh orang ramai yang menunjukkan komitmen mereka untuk saling membantu.

Antara yang ikut serta dalam kempen darah berkenaan. – Gambar serahan Takaful Brunei