Takaful Brunei Corporate dilancar

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 FEB – Bagi mengekalkan reputasinya sebagai pemimpin dalam industri takaful dan insurans di negara ini, Takaful Brunei telah merasmikan Takaful Brunei Corporate yang eksklusif khusus kepada pemilik perniagaan dan entiti korporat di bilik korporat baharu mereka yang terletak di Ibu Pejabat TBA di Beribi, hari ini.

Hadir merasmikan Takaful Brunei Corporate itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah selaku pengerusi Syarikat Takaful Brunei Darussalam Sdn Bhd (Takaful Brunei) dan subsidiarinya, Takaful Brunei Am Sdn Bhd (TBA) dan Takaful Brunei Keluarga Sdn Bhd (TBK).

Acara dimulakan dengan bacaan doa dan disusuli dengan ucapan alu-aluan daripada Pengarah Urusan Takaful Brunei, Haji Shahrildin bin Pehin Orang Kaya Lela Utama Dato Paduka Haji Jaya.

Majlis kemudian diteruskan dengan Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew menandatangani plak kenang-kenangan dan seterusnya meninjau ruang korporat baharu bersama ahli-ahli Lembaga Pengarah Takaful Brunei.

Penubuhan Takaful Brunei Corporate itu adalah bagi menyediakan platform khusus untuk pemilik perusahaan kecil, sederhana dan besar serta entiti-entiti korporat yang berminat untuk mengetahui produk dan perkhidmatan perlindungan takaful.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew dan Haji Shahrildin bergambar ramai selepas majlis perasmian Takaful Brunei Corporate.
Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew menandatangani plak selepas merasmikan Takaful Brunei Corporate.

Pelancarannya itu juga menggambarkan dedikasi Takaful Brunei untuk memberi layanan istimewa kepada klien-klien korporat dan komuniti perniagaan di negara ini.

Kemudahan baharu Takaful Brunei Corporate itu juga membolehkan klien-klien korporat memiliki akses kepada bilik mesyuarat persendirian dengan bantuan daripada pasukan takaful korporat yang berpengalaman.

Pasukan Takaful Brunei Corporate juga menyediakan sebut harga yang efisien bagi produk-produk tertentu bagi klien di mana saja mereka berada.

Dengan slogan, ‘Mengutamakan Perlindungan Perniagaan’, Takaful Brunei Corporate juga berfungsi memberi huraian mengenai program-program perlindungan insurans atau takaful di samping menekankan kepentingan perlindungan sama ada bagi aset harta fizikal mahupun aset manusia.

Takaful Brunei Corporate komited menyediakan kemudahan lebih luas dan pengalaman hebat bagi klien-klien dengan menyediakan produk korporat bermutu seperti perlindungan operasi dan aset fizikal; perlindungan aset manusia; dan perlindungan profesional dan liabiliti perundangan selain konsultasi perlindungan perniagaan dan projek.

Dengan kepakaran pasukan takaful, syarikat itu juga berhasrat menyediakan perlindungan ekstensif pada kapasiti utama bagi industri-industri pembinaan negara, menyokong perindustrian dan pertumbuhan ekonomi di samping berpegang teguh pada warisan dan nilainya.