Takaful Brunei lancar aplikasi mudah alih

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 OGOS – Takaful Brunei secara rasminya telah melancarkan aplikasi Takaful Brunei Mobile untuk memberikan kemudahan dan pengalaman pelanggan takaful pada era digital.

Majlis pelancarannya telah berlangsung di Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah selaku pengerusi Lembaga Pengarah Syarikat Takaful Brunei Darussalam Sdn Bhd (Takaful Brunei) dan anak-anak syarikatnya; Takaful Brunei Am Sdn Bhd (TBA) dan Takaful Brunei Keluarga Sdn Bhd (TBK).

Takaful Brunei Mobile adalah aplikasi mudah alih yang direka untuk memberi kemudahan dan keselesaan kepada pengguna berdaftar untuk ikut serta, memperbaharui, membuat pemberitahuan tuntutan dan menguruskan semua sijil takaful mereka. Ia juga menyediakan akses kepada maklumat produk TBA dan TBK, kemas kini maklumat pelanggan dan promosi.

Ia membolehkan pelanggan untuk mengelakkan masalah beratur dan dapat memberikan penyelesaian cepat untuk mereka dengan kemudahan mendapatkan maklumat produk dan penyertaan sijil di hujung jari mereka.

Pelanggan juga dapat menerima sebut harga dengan serta-merta dan menyelesaikan penyertaan mereka melalui pembayaran dalam talian melalui aplikasi dan menerima salinan digital sijil takaful mereka.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew mendengarkan penjelasan lanjut mengenai aplikasi berkenaan.
Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew melancarkan aplikasi Takaful Brunei Mobile pada majlis yang berlangsung di Kompleks Yayasan, kelmarin.
Haji Shahrildin semasa menyampaikan ucapan alu-aluannya pada majlis pelancaran aplikasi Takaful Brunei Mobile di Kompleks Yayasan, kelmarin.

Pengarah Urusan Takaful Brunei, Haji Shahrildin bin Pehin Orang Kaya Lela Utama Dato Paduka Haji Jaya dalam ucapan alu-aluannya menjelaskan bahawa terdapat dua ciri tambahan yang penting untuk ditekankan pada aplikasi berkenaan iaitu ciri ‘My Takaful’, yang membantu pengguna berdaftar menguruskan semua sijil takaful TBA dan TBK mereka.

Pengguna dapat mengetahui dengan mudah bila perlindungan takaful mereka tamat dan merancang secara kewangan untuk memperbaharui dan memastikan tidak ada jurang dalam perlindungan takaful mereka kerana mereka mempunyai akses ke sijil aktif
mereka serta arkib kepada sijil yang lepas dan status tuntutan yang belum selesai.

Pengguna yang berdaftar juga akan diberitahu secara langsung mengenai kemas kini, berita dan promosi baharu Takaful Brunei melalui peti masuk akaun mereka.

Ciri kedua yang ditekankan oleh Haji Shahrildin ialah kemampuan untuk pengguna membuat tuntutan. Sekiranya berlaku tuntutan, pengguna mempunyai maklumat segera dan panduan bagaimana membuat tuntutan dan juga secara rasmi meneruskan proses pemberitahuan tuntutan melalui aplikasi mudah alih itu sendiri.

Menurut beliau lagi, aplikasi berkenaan dibangunkan secara tempatan dan menawarkan sebanyak 12 produk.

Dalam pada itu, beliau juga mengongsikan bahawa inisiatif Takaful Brunei Mobile telah diiktiraf oleh Insurance Asia, sebuah syarikat penerbitan Charlton Media Group dan Takaful Brunei turut memenangi anugerah Digital Insu-rance Initiative of the Year bagi tahun ini.

Sementara itu, Timbalan Pengurus Besar, Bahagian Saluran Jualan dan Pengedaran, Awang Mohd Suffian bin Haji Mohd Salleh ketika ditemu bual menjelaskan bahawa Takaful Brunei telah menerima anugerah sejak tiga tahun kebelakangan sebagai syarikat takaful terbaik di Brunei termasuk anugerah terbaharu tersebut.

Anugerah terbaharu berkenaan diberikan kepada Takaful Brunei kerana menjadi takaful pertama di Brunei yang mempunyai platform digital terutamanya pada aplikasi mudah alih takaful dan pembayaran dalam talian TBA Call Center.

Selain itu, beliau juga mengongsikan mengenai perancangan bagi ciri tambahan seperti program loyalty, yang akan diperkenalkan dalam masa terdekat serta peningkatan tambahan memandangkan mereka mengalami lebih banyak transaksi dan menerima maklum balas daripada pelanggan.

“Pelanggan kami akan dapat menikmati faedah seperti mengumpulkan mata dan mata ini juga dapat dipindahkan kepada keluarga atau rakan mereka untuk membolehkan mereka menikmati faedah seperti lebih banyak potongan harga untuk pembelian mereka,” jelas Awang Mohd Suffian.

Bersempena pelancaran rasmi tersebut, seramai 50 pelanggan pertama yang membeli mana-mana dua produk melalui Takaful Brunei Mobile akan mendapat telefon pintar Samsung M21.