Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 MAC – Takaful Brunei percaya bahawa dengan memberikan kemudahan kepada pelanggan mereka mengenai pengurusan insuran atau takaful mereka, ia akan menjadikannya lebih mudah untuk pelanggan mendekati serta membuat pembelian produk takaful.
Perkara itu dijelaskan oleh Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Takaful Brunei, Haji Shahrildin bin Pehin Dato Haji Jaya dalam temu bual bersama Media Permata selepas Majlis Cabutan Bertuah dan Penyampaian Hadiah Promosi SANANG2 MANANG yang berlangsung di Ruang, Bangunan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan, hari ini.
Beliau menerangkan bahawa Takaful Brunei menawarkan pelbagai jenis produk takaful termasuk Takaful Motor, Takaful Musafir dan perlindungan nyawa di mana ia memenuhi keseluruhan keperluan takaful pelanggan mereka.
Dalam memudahkan pelanggan untuk mendapatkan atau menyertai dalam Takaful Motor TBA, Takaful Brunei telah melancarkan ciri baharu kepada aplikasi Takaful Brunei Mobile bagi penyertaan baru dalam Takaful Motor.
Mengulas lanjut mengenai ciri baharu itu, Haji Shahrildin berkata pelanggan hanya perlu untuk mendaftar kepada Takaful Brunei Mobile dan mengisikan keterangan yang diperlukan serta jika mereka ingin untuk beralih daripada insuran atau takaful kereta mereka kepada Takaful Motor, mereka hanya perlu memuat naik polisi insuran motor terkini mereka dan mengisikan keterangan yang diperlukan.
Selepas itu, pihak Takaful Brunei akan dapat memberikan sebut harga kepada mereka dan jika mereka bersetuju dengannya mereka boleh menyertai Takaful Motor di mana selepas pembayaran dibuat, mereka akan dikeluarkan dengan insuran polisi dengan cepat di atas aplikasi mudah alih mereka serta dapat digunakan dan ditunjukkan kepada pihak berkuasa yang relevan.
Menerangkan mengenai penggunaan aplikasi Takaful Brunei Mobile, Awang Haji Shahrildin berkata pada masa ini, mereka mempunyai kira-kira 40 ribu pengguna yang berdaftar dan beliau yakin bahawa dengan lebih ramai pelanggan mengenali produk berkenaan serta penggunaan mudahnya, ia akan menyaksikan peningkatan pendaftaran pengguna.
Di samping itu, beliau mendedahkan lebih banyak ciri akan diperkenalkan dan juga lebih banyak produk akan dimasukkan ke dalam aplikasi itu tetapi pada masa ini, pihaknya ingin pelanggan mereka untuk menikmati penggunaan aplikasi berkenaan bagi melanggan polisi motor dan polisi insuran, mempunyai sejarah lengkap pembelian insuran mereka serta mengenai tarikh bagi membaharui polisi mereka.
Haji Shahrildin berkata lagi bahawa Takaful Brunei amat mengambil berat mengenai pelanggan mereka dan ingin untuk memastikan bahawa keperluan perlindungan mereka disediakan.
Oleh itu, menerusi aplikasi mudah alih berkenaan, ia memenuhi jurang dan keperluan perlindungan mereka di mana takaful dapat dipermudahkan dengan menggunakan aplikasi berkenaan.