Takaful Brunei perkenal pelan pembayaran mudah

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 JUN – Dalam usaha memberi keselesaan kepada pelanggan, Takaful Brunei telah memperkenalkan Pelan Pintar Takaful Brunei baru-baru ini dalam rancangan pembayaran bulanan yang mudah dan boleh didapati di dua buah anak syarikatnya, Takaful Brunei Am Sdn Bhd (TBA) dan Takaful Brunei Keluarga Sdn Bhd (TBK).

Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Takaful Brunei, hari ini, pengenalan pelan pembayaran ini bagi membantu pelanggan yang mana pelanggan tidak perlu memberikan dokumen tambahan dan pelan ini juga adalah bagi memastikan kemampuan untuk produk Takaful Brunei elit seperti Pakej Takaful Motor Komprehensif Prestige TBA dan Pakej Emas Takaful As-Syifa TBK.

Pelan Pintar Takaful Brunei ini juga membolehkan pelanggan membayar sumbangan takaful mereka setiap bulan antara jangka masa enam hingga 12 bulan yang mana sumbangan takaful bermula dari $300 hingga $3,000 dengan caj perkhidmatan yang ditetapkan.

Pelan bagi 18 hingga 24 bulan dengan sumbangan takaful bermula dari $1,200 hingga $6,000 dengan caj perkhidmatan.

Kedua-dua pelan pembayaran ini adalah dengan sifar kadar faedah dan pelan ini juga memberikan pelanggan perlindungan takaful secara sistematik dan lebih ekonomik.

Sebagai contoh, perlindungan takaful yang berharga $600 akan disertai dengan kos bulanan hanya $50 selama 12 bulan dengan mengekalkan perlindungan dan faedah sepenuhnya yang mana pelan ini hanya diberikan untuk pemegang kad BIBD.

Pelanggan hanya layak apabila mereka menggunakan kad BIBD mereka untuk membayar sijil takaful baharu dan pembaharuan melalui aplikasi mudah alih Takaful Brunei, Pusat Panggilan TBA, TBK atau WhatsApp atau kaunter.

Manakala untuk menukar pembayaran mereka ke pelan pembayaran ini, pelanggan hanya perlu menghubungi Pusat Panggilan BIBD setelah sebulan pembayaran takaful mereka dan meminta menukarnya ke Pelan Pembayaran Mudah BIBD.