Takaful Brunei tahlil di Kubah Makam Diraja

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Mei – Takaful Brunei yang merangkumi Syarikat Takaful Brunei Darussalam Sdn Bhd (STBD) bersama anak-anak syarikatnya, Takaful Brunei Am Sdn Bhd (TBA) dan Takaful Brunei Keluarga Sdn Bhd (TBK), hari ini, telah mengadakan majlis membaca Tahlil dan Yasin di Kubah Makam Diraja.

Majlis bagi Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien dan Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit itu dihadiri oleh ahli-ahli lembaga pengarah, para pegawai dan kakitangan Takaful Brunei.

Turut hadir ialah Ketua Hakim Syarie, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar selaku pengerusi Badan Penasihat Syariah.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, bersempena bulan Ramadan ini, Takaful Brunei juga akan secara aktif terlibat dalam pelbagai aktiviti keagamaan seperti Tadarus, Khatam Al-Quran dan kempen amal bagi mereka yang kurang berkemampuan.

Yang Berhormat Ketua Hakim Syarie ketika menghadiri majlis membaca Tahlil dan Yasin di Kubah Makam Diraja, kelmarin.