Takaful Brunei terima anugerah inisiatif digital

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 SEPT Takaful Brunei menerima anugerah Digital Insurance Initiative of the Year daripada Insurance Asia Awards 2020 baru-baru ini, anugerah pertama seumpamanya bagi mana-mana operator insurans dan takaful di Negara Brunei Darussalam.

Menurut kenyataan dikeluarkan Takaful Brunei di sini hari ini, anugerah itu adalah hasil pencapaian mereka menerusi perkembangan syarikat dalam ekonomi digital Brunei.

Ia memulakan perjalanan pendigitalannya dengan mengembangkan perkhidmatan-perkhidmatan termasuklah pusat panggilan perkhidmatan pembaharuan dengan penghantaran percuma yang dilanjutkan kepada perkhidmatan WhatsApp dan pembayaran SMS bagi transaksi segera dengan penghantaran percuma.

Manakala perkhidmatan terbaharu ialah Takaful Brunei Mobile yang memperkenalkan aplikasi pengurusan dan perkhidmatan takaful digital sepenuhnya yang pertama di Negara Brunei Darussalam.

Pengenalan itu, jelas kenyataan berkenaan, menunjukkan komitmen dan sokongan Takaful Brunei terhadap Wawasan Brunei 2035 dan Pelan Induk Ekonomi Digital.

Takaful Brunei menerima anugerah daripada Insurance Asia Awards 2020. – Gambar serahan Takaful Brunei

Takaful Brunei Mobile terus mencatatkan peningkatan jumlah pengguna yang berdaftar sejak pelancaran disebabkan oleh ciri-ciri aplikasi berkenaan yang mesra pengguna, pembayaran selamat dan mudah untuk menyertai, membaharui, membuat tuntutan dan menguruskan sijil-sijil Takaful.

Aplikasi itu juga mempunyai fungsi, My Takaful, di mana pengguna boleh mengurus kesemua sijil TBA dan TBK mereka yang membolehkan pengguna untuk merancang lebih awal pembaharuannya.

Di samping itu, pengguna juga dapat mengakses sijil-sijil aktif mereka serta juga arkib sijil-sijil terdahulu dan mendapatkan maklumat status tuntutan yang belum selesai.

Takaful Brunei Mobile dibangunkan sepenuhnya oleh pemaju tempatan di mana dengan aplikasi berkenaan, pelanggan tidak perlu beratur panjang dan menanti lama untuk mendapatkan perkhidmatan di kaunter.

Pengguna-pengguna yang berdaftar boleh menikmati kadar diskaun eksklusif bagi produk-produk terpilih, menerima sebut harga segera, melengkapkan penyertaan mereka menerusi pembayaran atas talian melalui aplikasi berkenaan dan menerima salinan digital sijil takaful mereka.

Takaful Brunei Mobile meniadakan keperluan bagi salinan fizikal yang berisiko untuk terlepas pandang atau diletakkan di tempat yang salah serta juga mengurangkan pembaziran kertas dan lebih peka kepada alam sekitar.

Takaful Brunei Mobile juga memberikan pelanggan akses kepada maklumat produk, kemasi kini dan promosi yang diketengahkan oleh Takaful Brunei Am Sdn Bhd (TBA) dan Takaful Brunei Keluarga Sdn Bhd (TBK).

Satu lagi ciri penting ialah keupayaan bagi pengguna berdaftar untuk membuat pemberitahuan tuntutan menerusi aplikasi mudah alih berkenaan. Para pengguna yang berhadapan insiden tuntutan boleh mengakses dengan segera maklumat dan panduan bagaimana untuk memulakan proses pemberitahuan tuntutan secara formal di mana ia akan menjimatkan masa dan membolehkan pengguna untuk menyediakan maklumat tuntutan yang diperlukan bagi pemeriksaan serta kelulusan untuk mempercepatkan pembayaran tuntutan jika diperlukan.

Pada masa akan datang, fungsi atau ciri tambahan bagi aplikasi berkenaan adalah termasuk program mendapatkan mata ganjaran serta juga lebih banyak produk dan kemas kini untuk meningkatkan lagi pengalaman pelanggan.

Takaful Brunei kini menyertai 130 buah syarikat dari 24 buah negara yang telah dikenali pasti oleh Insurance Asia sebagai salah sebuah syarikat insurans yang terpuji di rantau ini.