Takaful Brunei terus bantu golongan terjejas

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 NOV – Dalam usaha memberi sokongan dan bantuan kepada golongan dan pihak yang terjejas akibat COVID-19 ini, Takaful Brunei telah menyumbangkan makanan kepada 100 orang daripada 14 buah keluarga menerusi inisiatif Dart Food.

Sumbangan disampaikan oleh Pengurus Pemasaran Korporat Takaful Brunei, Awang Mohammad Nazmi bin Haji Souyono kepada Pengurus Pembangunan Perniagaan Dart, Awang Nabil Ibrahim di Ibu Pejabat Royal Brunei Culinary (RBC), Lambak Kanan.

Turut hadir menyaksikan penyerahan sumbangan tersebut ialah Eksekutif Pembangunan Perniagaan RBC, Elvin Lim Leong Chiang dan pengasas Hand4Hand Brunei, Haji Muhammad Iqbal Fakhri bin Haji Damit.

Bantuan berkenaan menyediakan makanan tengah hari dan makan malam setiap hari mengikut pelan makan mingguan untuk November di mana Takaful Brunei melalui Dart, menggunakan penghantaran makanan tanpa sentuh yang disediakan oleh RBC kepada keluarga terjejas semasa pandemik ini.

Selaras dengan garis panduan Kementerian Kesihatan, penghantaran dilakukan oleh pemandu Dart yang telah menerima vaksin lengkap dengan memakai pelindung muka berganda dan mempunyai kod BruHealth berwarna hijau.

Inisiatif Dart Food menerima senarai daripada Hand4Hand Brunei, yang turut membantu dalam pengagihan makanan mingguan.

Awang Mohammad Nazmi menjelaskan, adalah penting untuk syarikat memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan pada masa yang mencabar ini melalui usaha kolektif.

“Selain itu, Takaful Brunei turut percaya dalam mengatasi cabaran ini dengan slogan Together We Protect,” tambah beliau.

Takaful Brunei sebelum ini juga menyumbangkan pelbagai barangan makanan dan keperluan asas kebersihan untuk keluarga kurang berkemampuan selain memberikan makanan kepada pesakit di Pusat Pengasingan Kebangsaan (NIC), peralatan perlindungan diri (PPE) kepada pekerja penting dan petugas barisan hadapan.

Awang Mohammad Nazmi menyerahkan sumbangan kepada Haji Muhammad Iqbal Fakhri.