TOKYO, 19 OKT – Skandal rasuah yang menyelubungi Olimpik Tokyo semakin tersebar kelmarin, selepas seorang bekas eksekutif Olimpik Tokyo ditahan semula kerana disyaki menerima rasuah daripada dua buah syarikat, salah satu daripadanya dikatakan menjual mainan maskot rasmi.
Pihak pendakwa raya menuduh bekas ahli lembaga pengarah Tokyo 2020, Haruyuki Takahashi menerima rasuah berjumlah 54 juta yen daripada syarikat pengiklanan besar dan daripada syarikat menjual barangan.
Ini adalah kali keempat eksekutif yang berumur 78 tahun itu ditahan disebabkan skandal ini, dengan pertuduhan yang dia pernah menerima jumlah sogokan yang hampir sama daripada kedai menjual baju yang menjadi rakan rasmi acara tahun lepas.
Pihak pendakwa raya menuduh Takahashi telah membantu syarikat pengiklanan gergasi, ADK Holdings untuk mendapatkan kontrak penajaan dan sebagai balasan menerima 47 juta yen sebagai “tanda terima kasih”.
Mereka juga menuduh dia menerima tujuh juta yen daripada syarikat barang-barang mainan, di mana pihak media Jepun menamakan sebagai Sun Arrow dan mengatakan mereka mendapat lesen untuk menjual mainan maskot rasmi.
Tiga orang lain yang ditahan pada Rabu termasuklah Presiden ADK, Shinichi Ueno.
ADK Holdings berkata kami sangat menyesal untuk berada dalam situasi ini, dan kami mahu memohon maaf atas segala kesulitan yang disebabkan oleh penahanan ini.
“Memandangkan penyiasatan masih lagi dijalankan, kami ditegah untuk memberikan sebarang maklumat lanjut,” katanya, dia sanggup memberikan kerjasama penuh dengan pihak berkuasa untuk menyelesaikan kes ini. – AFP