Takeda setuju ambil alih Ireland Shire

TOKYO, 5 Dis – Pemegang saham di syarikat gergasi ubat Jepun Takeda hari ini meluluskan satu pelan untuk membeli firma farmaseutikal Ireland Shire dalam satu perjanjian yang bernilai kira-kira AS$60 bilion, pengambilalihan asing terbesar oleh sebuah firma Jepun.

Sekumpulan pelabur yang membangkang, termasuk anggota keluarga pengasas, cuba menghalang perjanjian itu tetapi diatasi dengan bilangan undi pada mesyuarat pemegang saham luar biasa yang diadakan di bandar barat Osaka di mana terletaknya ibu pejabat syarikat.

Skim itu “diluluskan seperti yang dicadangkan pada asalnya,” kata satu kenyataan daripada Takeda, menambah ia harus berkuatkuasa pada awal Januari – sementara menunggu kelulusan daripada pemegang saham Shire, yang akan mengundi mengenai pelan penggabungan pada lewat hari ini di Dublin.

Perjanjian itu, yang akan menubuhkan salah satu daripada 10 syarikat ubat terkenal di dunia, mengakhiri usaha Takeda untuk mengambil alih pesaingnya yang lebih besar tatkala ia cuba berkembang ke luar negara.

“Kami berasa gembira bahawa pemegang saham kami telah memberikan sokongan kukuh kepada pemerolehan kami ke atas Shire,” kata CEO takeda Christophe Weber.

Penganalisis berkata pembelian itu merupakan satu tindakan bijak oleh Takeda tatkala ia menimbang untuk mempelbagaikan operasinya, dan mungkin berjaya dalam jangka panjang, tetapi ia juga menimbulkan kebimbangan firma Jepun mungkin berkembang keterlaluan dari segi kewangan.

Takeda merancang membiayai pembelian berjumlah 46 bilion pound menerusi penerbitan saham baharu sebagai tukaran kepada saham Shire, pinjaman bank dan penerbitan bon.

Pembelian itu adalah yang terbaharu dalam beberapa siri penggabungan dan aktiviti pemerolehan dalam industri farmaseutikal apabila pelabur tradisional melihat keuntungan dihakis oleh persaingan daripada ubat generik. – AFP

Para pemegang saham Syarikat Takeda tiba di tempat mesyuarat di Osaka semalam. Pemegang saham Takeda semalam meluluskan satu pelan untuk membeli firma Ireland Shire. – AFP