Wednesday, November 6, 2024
32.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Takkan selamanya jadi artis’

    Janji penyanyi, pelakon dan pengacara sensasi, Elly Mazlein, 42, tidak selama-lama kehidupannya dalam belantara seni.

    Apabila tiba masanya, segala-galanya akan ditinggalkan untuk memberikan tumpuan kepada keluarga. Soal bila, biarlah takdir yang menentukannya.

    Jauh di sudut hati, meluap-luap keinginan mahu menjadi suri rumah tangga sepenuh masa agar dapat berbakti kepada suami dan melihat anak-anak membesar depan mata.

    Namun, angan-angan hanya mampu terpendam dalam hati Elly atau nama sebenarnya, Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi buat masa ini. Baginya, tiada yang lebih indah apabila dapat menghabiskan masa bersama suami dan anak-anak.

    Meskipun terpaksa menunggu masa yang sesuai, namun Elly percaya, doanya akan dijawab Tuhan, suatu hari nanti.

    Elly Mazlien memiliki keinginan mahu menjadi suri rumah tangga sepenuh masa agar dapat berbakti kepada suami dan melihat anak-anak membesar depan mata. – Agensi

    “Tak dinafikan, timbul rasa bersalah apabila terpaksa meninggalkan suami dan anak-anak yang masih kecil disebabkan terikat dengan jadual kerja ketat.

    “Saya pernah meluahkan perasaan kepada suami. Mujur, suami amat memahami dan tidak pernah merungut.

    “Saya katakan, anggap sahaja apa yang kita sedang lalui sebagai satu pengorbanan untuk keluarga kecil kami,” katanya. Wanita kelahiran Slim River, Perak itu berkata, dia sudah lama menyimpan keinginan menjadi suri rumah sepenuh masa.

    “Saya selalu berangan dapat bangun awal pagi, basuh baju, siapkan keperluan keluarga dan hantar anak ke sekolah

    “Namun, dalam keadaan sekarang, mungkin agak sukar untuk saya melaksanakan tanggungjawab ini. Justeru, berikan saya masa untuk membuat perancangan agar impian saya terlaksana.

    “Saya sudah pun berjanji pada suami, takkan selama-lamanya hidup dalam bidang seni,” ujarnya.

    Justeru, bagi memastikan mempunyai masa berkualiti bersama keluarga, penyanyi yang popular menerusi lagu Usah Ditambah Bara Yang Tersimpan dan Empat Dara ini merangka percutian lebih awal agar perancangan dibuat berjalan lancar. Mengulas pendirian enggan mendedahkan wajah anak dalam media sosial, pelakon yang mencetuskan fenomena menerusi drama Kampung People itu memberitahu, prinsipnya akan terus kekal sehingga tiba waktu sesuai.

    “Sebenarnya, keengganan mendedahkan wajah anak dalam media sosial berdasarkan tindakan spontan anak sulung, Puteri Sara Sefhia setiap kali bila ada pihak mahu merakam gambarnya.

    “Sebaik sahaja ternampak kamera menghala kepadanya, Sefhia akan memalingkan muka atau menyorok di belakang saya.

    “Tindakan spontannya menyedarkan saya yang Sefhia tidak selesa wajahnya didedahkan. Walaupun masih kecil, tetapi saya perlu menghormati pendiriannya.

    “Tunggulah apabila Sefhia sudah boleh buat keputusan sendiri dan tak kisah untuk wajahnya didedahkan, barulah saya akan muat naik gambar penuhnya dan Haider Mateen,” katanya.

    Walaupun tegar dengan prinsipnya itu, namun, Elly berkata, ia tidaklah sampai terpaksa menyembunyikan sosok anaknya itu daripada pandangan khalayak. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda