Oleh Pg Fairol RMF
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Feb – Urus Setia Lembaga Muzium, Jabatan Muzium-muzium, hari ini, meneruskan lagi Taklimat Akta Barang-barang Purbakala dan Harta Terpendam 1967, edisi semakan 1984;1991 dan 2002 sebagai usahanya untuk memberigakan mengenainya.
Taklimat sesi kedua yang diadakan di Dewan Teater, Jabatan Daerah Brunei dan Muara itu dihadiri oleh para penghulu dan ketua-ketua kampung di Daerah Brunei dan Muara khususnya dari Mukim Serasa, Mukim Mentiri, Mukim Gadong ‘A’ dan Gadong ‘B’, Mukim Kota Batu, Mukim Kianggeh, Mukim Sungai Kebun, Mukim Saba, Mukim Peramu, Mukim Burong Pingai Ayer, Mukim Tamoi dan Mukim Sungai Kedayan.
Turut hadir ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Naim bin Haji Kamis selaku Penghulu Mukim Kota Batu dan Pemangku Penghulu Mukim Kianggeh dan Yang Berhormat Haji Mohimin bin Johari @ Jahari selaku Ketua Kampung Limau Manis.
Taklimat telah disampaikan oleh Pemangku Timbalan Pengarah Muzium-muzium, Dayang Aminah binti Haji Majid selaku Ketua Urus Setia Lembaga Muzium dan turut dihadiri oleh ahli-ahli Urus Setia Lembaga Muzium.
Antara tujuan taklimat berkenaan adalah untuk menghebahkan tentang Akta Barang-barang Purbakala dan Harta Terpendam yang telah diperkenankan oleh kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, diperuntukkan untuk melindungi dan memelihara monumen-monumen lama dan bersejarah, tapak-tapak arkeologi, tinggalan dan barang-barang antik.
Akta berkenaan dikawal oleh sebuah badan yang dikenali sebagai Lembaga Muzium, dipengerusikan oleh setiausaha tetap di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan pengarah Jabatan Muzium-muzium selaku setiausaha dan tujuh orang ahli yang dilantik oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Sebanyak 29 buah monumen, tapak dan makam telah diwartakan di Daerah Brunei dan Muara antaranya Bangunan Bubungan Dua Belas, Tapak Arkeologi Kota Batu, Tapak Lombong Arang Batu, Bangunan Kastam dan Eksais Diraja, Rumah Jerambak, Rumah Semaun, makam-makam sultan seperti Makam Sultan Sharif Ali, Makam Sultan Bolkiah, Makam Sultan Muhammad Jamalul Alam I, Makam Sultan Muhammad Kanzul Alam, Makam Sultan Muhammad Jamalul Alam II, Makam Sultan Ahmad Tajuddin dan Makam Sultan Omar ‘Ali Saifuddien III.