BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Okt – Sebagai persediaan bagi Majlis Konvokesyen Politeknik Brunei ke-4 yang akan diadakan pada awal Disember nanti, Politeknik Brunei akan mengadakan taklimat buat bakal graduan pada 3 November ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Politeknik Brunei menjemput bakal graduan yang akan menerima sijil diploma masing-masing untuk menghadiri sesi taklimat di Dewan Kuliah, Institut Sains Kesihatan Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa’adatul Bolkiah, Universiti Brunei Darussalam, Jalan Tungku, Gadong.
Sesi taklimat berkenaan akan dibahagikan kepada dua sesi, iaitu sesi pagi adalah untuk bakal graduan dari Sekolah Sains dan Kejuruteraan, dan Sekolah Sains Kesihatan. Manakala sesi petang pula adalah untuk bakal graduan dari Sekolah Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), dan Sekolah Perdagangan.
Bagi mereka yang berminat untuk mendapatkan sebarang maklumat lanjut mengenai taklimat berkenaan, bolehlah melayari laman sesawang rasmi Politeknik Brunei di alamat http://www.pb.edu.bn.