Taklimat bantu ibu bapa beri sokongan kepada pelajar

Oleh Daniel Lim

BELAIT, 30 JULAI – Bagi membantu meningkatkan kepentingan mengenai sokongan ibu bapa dan penjaga dalam perkembangan anak-anak, terutama di rumah, Sekolah Menengah Sayyidina Ali (SMSA), Kuala Belait telah menganjurkan taklimat bersama ibu bapa dan penjaga bertempat di dewan serba guna sekolah berkenaan, hari ini.

Taklimat bertajuk ‘Ibu Bapa Cemerlang Anak Gemilang’ telah disertai oleh seramai 50 orang ibu bapa yang kebanyakan anak-anak mereka belajar pada tahun 8 dan tahun 11.

Hadir bagi mengalu-alukan kehadiran ibu bapa ialah pengetua sekolah, Steven Shim Sheau, Pengerusi PIBG sekolah, Awang Nordin bin Haji Zainal dan timbalan pengetua, guru-guru dan kakitangan sekolah.

Dalam ucapan alu-aluannya, Steven Shim menjelaskan bagaimana ceramah tersebut merupakan salah satu program dianjurkan oleh sekolah bagi berinteraksi dengan ibu bapa dan penjaga mengenai pelajar bagi memberikan pengetahuan yang lebih baik bagaimana untuk memberikan sokongan terutama di rumah.

Acara diteruskan dengan ceramah yang disampaikan oleh penceramah jemputan dan merupakan Presiden Konsultasi Brunei Peka, Awang Diny bin Haji Karim, yang menyampaikan pelbagai topik dan maklumat bagi menyokong pembelajaran kanak-kanak.

Selain itu juga, ia untuk membuka mata dan mendengar muzik dan menyesuaikan dengan keperluan dan perkembangan anak mereka. Acara turut diisi dengan pelbagai aktiviti dan sesi perkongsian antara ibu bapa dan penjaga yang bertujuan untuk menyampaikan maklumat dan menerapkan dalam pengalaman mereka sendiri. Acara diakhiri dengan penyampaian sijil kepada ibu bapa dan penjaga serta penceramah yang menyertai.

Antara ibu bapa dan penjaga yang menghadiri taklimat tersebut.