Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 JULAI – Dalam usaha untuk memberigakan Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB) sebagai sebuah institusi ilmu Al-Quran yang mampu melahirkan huffaz Al-Quran dan pandai menghafaz ayat-ayat suci Al-Quran, program jerayawara pengambilan baharu peringkat menengah Tahun 7 sesi pengajian 2023 telah diadakan di dewan kuliah institut berkenaan hari ini.
Majlis turut dihadiri oleh Pengetua ITQSHHB, Pengiran Haji Amiruddin bin Pengiran Haji Damit.
Program jerayawara itu juga telah menjemput pelajar-pelajar dari sembilan buah sekolah iaitu Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Sekolah Persediaan Arab Bandar Seri Begawan, Sekolah Rendah Bendahara Sakam Bunut, Sekolah Rendah Datu Ratna Haji Muhd Jaafar Kiarong, Sekolah Al Falaah, Sekolah Rendah Pusar Ulak, Sekolah Rendah Beribi Telanai, Sekolah Nusa Laila Puteri dan Sekolah Tinkerbell.
Antara lain objektif jerayawara adalah untuk memaklumkan kepada orang ramai mengenai pengambilan pelajar-pelajar baharu institut berkenaan bagi menceburi pelbagai bidang seperti pengajian Islam, sains dan teknologi di samping hafazan Al-Quran.
Dalam program tersebut, pelajar berpeluang mendengarkan taklimat mengenai proses pengambilan pelajar, format temu duga, keistimewaan hufaz Al-Quran dan panduan menghafaz yang telah disampaikan oleh tenaga pengajar institut berkenaan.
Selain itu, pelajar yang hadir juga berpeluang menyertai beberapa aktiviti sebagai acara sampingan dalam program berkenaan.
Tawaran bagi pengambilan pelajar baharu peringkat menengah Tahun 7 ITQSHHB bagi sesi pengajian 1443/2022 telah dibukakan bermula pada 13 Jun lalu hingga 13 Ogos dengan borang yang telah lengkap diisi hendaklah dikembalikan pada 8 hingga 13 Ogos depan.
Borang tawaran boleh didapati di Pejabat Pentadbiran ITQSHHB, Simpang 175, KM2 Jalan RIPAS, Bandar Seri Begawan atau melalui laman sesawang Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) di www.kheu.gov.bn.