Taklimat bincang isu ekonomi

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 OGOS – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) telah mengadakan satu sesi taklimat bersama Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (LKEB), Kementerian Kewangan dan Ekonomi untuk memberi maklumat dan pemahaman dalam kalangan ahli akademik mengenai statistik dan perkembangan terkini ekonomi Brunei.

Taklimat disampaikan oleh Penolong Ketua Pegawai Eksekutif LKEB, Awang Abdurrahman bin Abdul Aziz dan Pegawai Eksekutif LKEB, Dayang Samantha binti Haji Ali.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, taklimat juga bertujuan untuk memberi peluang berinteraksi dan mewujudkan perbincangan dua hala bagi isu-isu ekonomi yang dihadapi yang memerlukan komitmen berterusan daripada pelbagai pihak.

Awang Abdurrahman dalam taklimatnya mengongsikan peranan organisasi itu dalam merealisasikan Wawasan Brunei 2035 yang ingin menjadikan Brunei Darussalam sebuah negara berekonomi dinamik dan berdaya tahan selain 10 negara teratas dari segi keluaran dalam negeri kasar (KDNK) per kapita. Ini termasuk dalam tanggungjawab LKEB di mana Brunei

Darussalam dilihat sebagai destinasi pelaburan yang menarik bagi pelaburan langsung asing (FDI).

LKEB berjaya menarik beberapa pelaburan asing dan yang terbesar setakat ini adalah Hengyi Industries Sdn Bhd melalui Projek Muara Besar. Melalui FDI ini secara langsung menawarkan pekerjaan bagi anak tempatan yang merupakan aspek penting dalam menangani masalah pengangguran.

Turut hadir pada taklimat berkenaan ialah Rektor UNISSA, Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal, bersama timbalan rektor, penolong-penolong rektor dan juga pegawai-pegawai utama UNISSA.

Dr Haji Norarfan menyampaikan cenderahati kepada Awang Abdurrahman pada akhir sesi taklimat yang diadakan di UNISSA. – Gambar serahan UNISSA