Taklimat dalami pemahaman tentang adat istiadat Brunei

Oleh Nurdiyanah R.

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 DIS – Darussalam Holdings Sdn Bhd (DHSB) dan anak syarikatnya dengan kerjasama Jabatan Adat Istiadat Negara telah mengadakan taklimat adat istiadat mengenai Terasul dan Bahasa Pengganti Diri (Bahasa Dalam) untuk pegawai dan kakitangannya di pejabat DHSB, hari ini.

Taklimat yang dilaksanakan secara maya itu telah disertai oleh lebih 150 orang pegawai dan kakitangan Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB) dan anak syarikatnya di mana taklimat telah disampaikan oleh Pegawai Adat Istiadat Negara, Awang Zaizul bin Haji Daud.

Turut hadir semasa taklimat itu ialah Pengarah Urusan DHSB, Haji Mahmud bin Haji Mohamed yang sekali gus menyampaikan hadiah penghargaan kepada penceramah taklimat di akhir acara.

Antara tujuan taklimat itu diadakan adalah untuk memberigakan dan meningkatkan pemahaman yang mendalam mengenai protokol, terasul dan penggunaan Bahasa Dalam serta memperkasakan lagi pengetahuan yang sedia ada mengenai adat istiadat Negara Brunei Darussalam.

Haji Mahmud semasa menyampaikan hadiah penghargaan kepada penceramah taklimat di akhir acara. – Gambar serahan DHSB