Taklimat kebombaan bagi warga Liftco

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 OKT – Bahagian Perhubungan Awam, Cawangan Operasi A, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), baru-baru ini,telah mengadakan Taklimat Keselamatan Kebakaran untuk pekerja dan kakitangan Syarikat Liftco Sdn Bhd yang berlangsung di Kampung Salar.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh JBP, di sini, seramai 16 orang pekerja dan kakitangan syarikat berkenaan menghadiri taklimat pada 17 Oktober lalu itu di mana mereka diberikan pendedahan mengenai antara punca-punca berlakunya kebakaran, beberapa cara menyelamatkan diri daripada kecemasan kebakaran dan diajarkan secara praktikal cara-cara menggunakan alat pemadam api yang betul serta selimut api.

JBP dalam kenyataan itu turut menyatakan bahawa jabatan berkenaan ada menyediakan program-program keselamatan seperti Taklimat Life Saver 995 dan kursus marsyal bomba bagi mengetahui aspek keselamatan semasa menangani kecemasan serta mengetahui tatacara yang betul bagi penggunaan alat pemadam api.

Pekerja dan kakitangan Syarikat Liftco Sdn Bhd diberikan tunjuk ajar praktikal mengenai penggunaan alat pemadam api yang betul. – Gambar serahan JBP