Taklimat kemasukan pelajar baharu SUAMPRIPAHS secara dalam talian

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 NOV – Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha (SUAMPRIPAHS) kelmarin telah mengadakan Taklimat Pendaftaran Kemasukan Pelajar Baharu Tahun 7 dan 9 Sesi 1443H/2022M, secara dalam talian melalui aplikasi Microsoft Teams. 

Hadir pada taklimat berkenaan ialah Pengetua SUAMPRIPAHS, Hajah Azizah binti Haji Mohamad.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan doa memohon perlindungan daripada wabak COVID-19.

Hajah Azizah dalam ucapan alu-aluannya selaku pengerusi majlis mengingatkan pihak sekolah, guru-guru, ibu bapa dan para pelajar untuk sentiasa bersiap sedia secara positif menerima perubahan dan pertukaran memandangkan pandemik COVID-19 yang melanda dunia pada masa ini.

Taklimat tersebut merupakan aktiviti tahunan sekolah yang antara lain bertujuan untuk memberikan penerangan dan maklumat mengenai SUAMPRIPAHS kepada para ibu bapa dan bakal-bakal pelajar di mana seramai 349 orang pelajar telah mendaftar masuk ke sekolah berkenaan.

Majlis diteruskan dengan tayangan slaid taklimat daripada bahagian pentadbiran, akademik, hal ehwal pelajar dan Unit Kemudahan Dalam Negeri SUAMRIPAHS.

Acara diteruskan lagi dengan tayangan slaid maklum balas kepada soalan-soalan dari ibu bapa melalui Google Form. 

Sebelum acara ditutup, Doa Peliharakan Sultan dan bacaan Surah Al-Asr dibaca beramai-ramai.

Hajah Azizah bersama antara yang hadir semasa Taklimat Pendaftaran Kemasukan Pelajar Baharu Tahun 7 dan 9 Sesi 2020 yang diadakan secara dalam talian. – Gambar serahan SUAMPRIPAHS