Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 OKT – Sebagai usaha untuk meningkatkan kesedaran mengenai bahaya kebakaran, seramai 21 orang guru, kakitangan dan murid Sekolah Cahaya Bina Insan menghadiri Taklimat Keselamatan Kebakaran dan Tunjuk Ajar Tatacara Mengendalikan Alat-alat Pemadam Api dengan Betul yang diadakan oleh Bahagian Perhubungan Awam, Cawangan Operasi F, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) di Sekolah Cahaya Bina Insan, Ban 3, Kilanas pada 10 Oktober lalu.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh JBP, di sini, taklimat bermatlamat untuk menerapkan kesiapsiagaan kakitangan sekolah dalam menjalankan tugas mereka, meningkatkan kesedaran mengenai bahaya kebakaran serta memupuk rasa bertanggungjawab dan mengambil berat mengenai aspek-aspek keselamatan kebakaran.
Di kesempatan ini, JBP menyatakan bahawa mereka ada menyediakan program-program keselamatan seperti Taklimat Keselamatan Umum Life Saver 995 dan Kursus Marsyal Bomba bagi mengetahui aspek-aspek keselamatan semasa menangani kecemasan serta mengetahui tatacara yang betul khusus bagi penggunaan alat pemadam api.
Jika berlaku sebarang insiden kecemasan, hubungi talian kecemasan 995 dan untuk memberikan maklumat yang tepat.