Taklimat kesihatan persiapkan bakal jemaah haji sebelum ke tanah suci

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 JUN – Sebagai persiapan bakal jemaah haji dalam aspek kesihatan sebelum bertolak ke tanah suci, taklimat kesihatan bagi bakal jemaah bagi musim haji tahun ini telah diadakan di Dewan Tarbiyyah, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), hari ini.

Taklimat memberikan penerangan mengenai peraturan-peraturan dan panduan kesihatan ditetapkan yang perlu diambil perhatian oleh para bakal jemaah haji sebelum bertolak, semasa berada di tanah suci sehingga kembali ke tanah air selain proses dan prosedur untuk perkhidmatan-perkhidmatan yang akan disediakan kepada bakal jemaah haji semasa di tanah suci.

Di samping itu, taklimat adalah untuk mengingatkan kepada para bakal jemaah haji Negara Brunei Darussalam tentang dasar dan peraturan kerajaan Arab Saudi yang perlu dipatuhi. 

Taklimat juga menyampaikan maklumat berkaitan dengan penyakit-penyakit yang sering dihidapi di tanah suci dan permasalahan kesihatan semasa mengerjakan ibadat haji termasuk masalah kesihatan bagi jemaah haji wanita serta nasihat-nasihat kesihatan bagi menangani penyakit-penyakit dan permasalahan kesihatan tersebut.

Penerangan dan nasihat-nasihat berkenaan disampaikan oleh pakar dan pegawai perubatan dari Kementerian Kesihatan menerusi beberapa tajuk taklimat.

Taklimat kesihatan bagi para bakal jemaah haji merupakan aktiviti tahunan yang dianjurkan oleh Jabatan Urusan Haji dengan kerjasama Unit Perkhidmatan Perubatan Haji, Kementerian kesihatan.

Pegawai-pegawai dari Kementerian Kesihatan yang menyampaikan taklimat di Dewan Tarbiyyah, KUPU SB, kelmarin.
Antara bakal jemaah haji yang hadir mendengarkan taklimat.