Taklimat pemberigaan SKN dimulakan

Oleh Salawati Haji Yahya
Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 JUN – Taklimat Pemberigaan Sistem Kebajikan Negara (SKN) kepada para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung bermula hari ini di Daerah Brunei dan Muara di mana ia akan berlangsung selama tiga hari di Dewan Teater, Kementerian Kewangan dan Ekonomi.

Semasa sesi taklimat berkenaan, Setiausaha Tetap (Ekonomi) di Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Dr Hajah May Fa’ezah binti Haji Ahmad Ariffin menjelaskan bahawa antara tujuan utama taklimat berkenaan adalah bagi memperkenalkan SKN iaitu sistem baharu yang telah dibangunkan bersama oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dan Kementerian Kewangan dan Ekonomi dengan kerjasama Kementerian Pendidikan, Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan).

“Pembangunan SKN ini dihasratkan akan dapat menjadi platform bagi memudahkan masyarakat yang benar-benar memerlukan bantuan membuat permohonan bagi skim-skim bantuan kebajikan yang sedia ada secara dalam talian,” jelas beliau.

Selain memudahkan tatacara permohonan, sistem juga dihasratkan untuk meningkatkan lagi kerjasama dan perkongsian maklumat antara agensi-agensi yang terlibat melalui pangkalan data berpusat bagi memastikan tidak berlakunya ketirisan dan keciciran dalam kalangan rakyat dan penduduk yang layak untuk dibantu.

“Dengan adanya maklumat-maklumat ini juga, program bantuan yang dihulurkan di negara ini akan menjadi lebih berkesan dalam usaha untuk mengeluarkan penerima bantuan dari jurang kemiskinan,” jelasnya.

Dr Hajah May Fa’ezah pada taklimat bagi memperkenalkan Sistem Kebajikan Negara (SKN).
Pegawai-pegawai dari Kementerian Kewangan dan Ekonomi menyampaikan taklimat mengenai Sistem Kebajikan Negara (SKN) kepada penghulu-penghulu mukim dan ketua-ketua kampung bagi Daerah Brunei dan Muara.

Beliau seterusnya berharap, taklimat berkenaan dapat memberikan pemahaman yang lebih jelas mengenai tujuan, objektif dan tatacara penggunaan SKN khususnya kepada semua penghulu mukim dan ketua kampung yang berperanan sebagai ejen perantara pihak kerajaan dengan rakyat dan penduduk.

Ini bagi memastikan maklumat yang tepat dan bantuan yang sewajarnya diberikan kepada mereka yang memerlukan.

Dengan usaha sama yang padu antara semua pihak yang terlibat, jelas beliau lagi, akan dapat memastikan kejayaan SKN melalui pendekatan Whole of Nation Approach.

Menurut beliau, ini adalah dalam usaha kerajaan untuk mengeluarkan penerima-penerima bantuan daripada jurang kemiskinan sekali gus untuk memastikan bantuan yang dihulurkan adalah kepada mereka yang benar-benar layak.

Dalam masa yang sama, ia juga dapat membantu pihak kerajaan membuat penilaian dengan lebih telus dan jelas serta memastikan tidak ada ketirisan dan keciciran terhadap bantuan-bantuan yang diagihkan.

Pemberigaan SKN akan dilaratkan ke Daerah Belait pada 30 Jun di Dewan Persidangan Kuala Belait manakala bagi Daerah Tutong ia akan diadakan di Kompleks Kemasyarakatan Tutong pada 1 Julai.

Bagi Daerah Temburong pula akan diadakan pada 2 Julai di Dewan Kemasyarakatan, Pejabat Daerah Temburong.

Sesi taklimat berkenaan diikuti dengan tayangan video mengenai SKN dan tatacara untuk menggunakan sistem berkenaan bagi permohonan bantuan.